Sejak beberapa bulan yang lalu, terdengar desas-desus yang mengatakan Honda akan melancarkan model skuter terbaharu Honda ADV350. Setakat ini khabar angin tersebut boleh dikatakan tepat, setelah bocornya dokumen pendaftaran nama baharu ADV350, yang telah pun didaftarkan oleh Honda Motor Co., Ltd. pada tarikh 06hb. April 2021.
Honda ADV350 dijangka bakal menggunakan gaya atau bahasa rekaan yang sama seperti mana model Honda ADV150. Namun begitu oleh kerana ianya mempunyai enjin yang lebih besar, Honda ADV350 dijangka tampil lebih gagah. Mungkinkah penampilan sebenar Honda ADV350 sama seperti gambar-gambar paten yang disiarkan di sini?
Bagaimanapun gambar-gambar paten yang disiarkan di sini bukanlah merujuk kepada model Honda ADV350, sebaliknya ianya merupakan paten model terbaharu keluaran syarikat Ningbo Longjia Motorcycle Co., Ltd. yang berasal dari China. Sekali pandang, pastinya ramai yang mengatakan bahawa itu adalah rekaan sebenar Honda ADV350.
Adalah tidak menghairankan sekiranya Longjia bakal melancarkan sebuah model skuter baharu berdasarkan gaya rekaan Honda ADV350. Sudah menjadi lumrah, kebanyakan syarikat pengeluar motosikal dari China akan meniru akan mengklon mana-mana model motosikal atau skuter popular keluaran syarikat dari Jepun, Eropah dan juga India.
Namun apa yang menariknya ialah rekaan paten model skuter baharu keluaran Longjia ini boleh dikatakan benar-benar sporty, canggih dan kelihatan premium. Tidak mustahil jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, ramai yang akan membelinya. Adakah ianya merupakan kembar seiras kepada Honda ADV350, sama-sama kita nantikan.
Sumber : Vanhoe Rage FB