Ducati perkenal Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary 2021, edisi terhad, harga € 20,990.00

Ducati secara rasminya memperkenalkan sebuah model istimewa iaitu Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary 2021. Dikeluarkan sebagai model edisi terhad, ianya boleh didapati di semua pengedar Ducati bermula penghujung September 2021 ini, dengan harga € 20,990.00 (RM 104,428.19), merujuk kepada pasaran di Itali.

Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary 2021 merupakan model yang memberi penghormatan kepada pelumba legenda yang berasal dari Australia iaitu Troy Bayliss. Bersama-sama Bayliss, Ducati telah memenangi kejuaraan dunia pertama pada tahun 2001 dalam perlumbaan WSBK, menggunakan jentera 996 R twin-cylinder.

Seterusnya, gelaran dunia kedua dan ketiga dalam perlumbaan WSBK telah diraih oleh Bayliss pada tahun 2006 dan 2008, menggunakan dua jentera berbeza iaitu 999 R dan 1098 R. Lebih menarik lagi, Bayliss merupakan pelumba pertama di dunia yang mampu memenangi perlumbaan WSBK dan MotoGP dalam satu musim iaitu pada tahun 2006.

Ducati Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary berasal daripada model Panigale V2, kini tampil dengan jalur warna dan grafik istimewa, diinspirasikan daripada jentera perlumbaan 996 R yang menjadi juara pada 2001. Warna merah sebagai warna utama, dan disertai warna hijau dan putih sebagai penghormatan kepada bendera Itali.

Model tersebut juga menerima pelekat nombor perlumbaan ikonik #21, merujuk kepada nombor perlumbaan Bayliss, bersama-sama logo Shell sebagai rakan kerjasama rapat. Tandatangan Bayliss kemudiannya dibuat semula di atas tangki petrol, sementara pada billet aluminium triple clamp tertera nama model dan nombor pemilikan yang eksklusif.

Bagi menjadikan Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary lebih efektif sewaktu beraksi di litar, Ducati telah memasang sistem suspensi daripada Öhlins, yang merangkumi fork depan NX30 dan penyerak hentak belakang TTX36. Turut terpasang ialah steereng damper yang juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian tunggangan.

Berbanding model standard, Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary kini 3 kg lebih ringan, terima kasih kepada penggunaan bateri lithium-ion dan pemilihan tempat duduk tunggal. Aspek prestasi memperlihatkan Panigale V2 dikuasakan enjin 955cc Superquadro twin-cylinder bertaraf Euro 5, yang menjana 155hp dan 104Nm.