Motosikal elektrik terbaharu LiveWire ONE 2021 dilancarkan secara rasmi di pasaran USA, harga $21,999.00

Pada tahun 2019, Harley-Davidson telah memperkenalkan sebuah model motosikal elektrik yang dikenali dengan nama Harley-Davidson LiveWire. Kemudiannya pada Mei 2021 baru-baru ini pula, Harley-Davidson telah mengumumkan bahawa LiveWire akan berdiri dengan sendirinya sebagai jenama pengeluar motosikal elektrik sepenuhnya.

LiveWire sebagai jenama pengeluar motosikal elektrik baharu kini telah mempunyai model keluarannya yang tersendiri, dilancarkan secara rasmi untuk pasaran USA pada tarikh 08hb. Julai 2021. Model tersebut ialah LiveWire ONE 2021, diasaskan daripada model elektrik Harley-Davidson LiveWire, tampil dengan beberapa kemaskini baharu.

LiveWire ONE didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Horizon White dan Liquid Black, manakala harga jualannya untuk pasaran USA ditetapkan sebanyak $21,999.00, bersamaan RM 92,901.78. LiveWire ONE akan berada di pasaran antarabangsa mulai tahun 2022, dan perkembangan lanjut boleh diikuti melalui laman rasmi LiveWire.com.

Antara ciri-ciri utama yang menjadi perhatian ramai ialah mengenai jarak perjalanan yang boleh dilakukan oleh LiveWire ONE, begitu juga dengan masa pengecasan yang diambil. Menurut LiveWire, model tersebut mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 245 km dengan sekali cas, berdasarkan data SAE J2982 Riding Range Test Procedure.

Tempoh masa pengecasan dari 0 ke 100 % mengambil masa 60 minit, manakala dari 0 ke 80 % mengambil masa 45 minit, dengan menggunakan pengecas pantas DC Fast Charge. Tempoh masa pengecasan yang diambil itu tidaklah terlalu lama, sesuai untuk LiveWire ONE yang dibangunkan khusus untuk pengalaman tunggangan di bandar.

Antara ciri-ciri menarik yang dimiliki oleh LiveWire ONE ialah teknologi getaran haptik, yang membolehkan penunggang merasainya melalui tiga tahap talaan, terhasil melalui tempat duduk LiveWire ONE. Maklum balas haptik tersebut seolah-olah meniru getaran yang dihasilkan oleh enjin motosikal konvensional, pada model elektrik LiveWire ONE.

Selain itu, LiveWire ONE turut dilengkapi teknologi 6-axis IMU, empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Range dan Rain, Cornering Enhanced Antilock Braking System (C-ABS), Cornering Enhanced Traction Control System (C-TCS), Drag-Torque Slip Control (DSCS), suspensi Showa, sistem brek Brembo dan juga sistem sambungan Bluetooth.