Model kembara Jawa RVM 500 untuk pasaran Eropah

Jawa merupakan sebuah jenama pengeluar motosikal yang berasal dari negara Eropah iaitu Czechoslovakia, dan kini dikenali sebagai Czech Republic. Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1929, dan mengalami kemerosotan selepas tahun 1990. Pada tahun 1997, syarikat baharu sebagai penerus Jawa telah ditubuhkan, diberikan nama Jawa Moto.

Jawa Motorcycles kemudiannya muncul semula pada tahun 2018, oleh Classic Legends yang dimiliki oleh Mahindra dari India, melalui perjanjian pelesenan dengan Jawa Moto. Selain menumpukan kepada pasaran India, Jawa turut mempunyai cawangan di rantau Eropah, dengan barisan model-model berlainan yang tidak ditawarkan di pasaran Asia.

Salah satu daripadanya ialah model terbaharu Jawa RVM 500, sebuah model kembara dengan enjin empat lejang 471cc (dua silinder, sistem sejukan cecair), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Enjin klon yang berasal daripada model Honda CB500 itu menawarkan kuasa maksimum 47hp @ 8,500rpm dengan tork 40.5Nm @ 6,500rpm.

Jawa RVM 500 mempunyai tangki bahan api 20 liter, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tempat duduk dengan ketinggian 820 mm, tayar depan bersaiz 110/80-19, tayar belakang bersaiz 150/70-17, sistem lampu LED, paparan panel meter digital LCD dan analog, berat kering 206 kg dan kelajuan maksimumnya mencapai angka 150 km/j.

Jawa RVM 500 sebenarnya bukanlah sebuah model terbaharu yang dibangunkan oleh Jawa sepenuhnya, sebaliknya ianya merupakan model motosikal keluaran dari negara China. Model berkenaan turut ditawarkan di pasaran Eropah sebagai model Daytona Maverick 500. Untuk pasaran Eropah (Lithuania), harga Jawa RVM 500 ialah 6,690 €.

Sumber : Bikeit.gr