Yamaha MT-03 2021 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran Thailand

Untuk pasaran Thailand pada 09hb. Julai 2021 baru-baru ini, Yamaha secara rasminya telah melancarkan enam buah model baharu secara serentak. Model-model tersebut ialah Yamaha Exciter 155 2021, Yamaha YZF-R3 2021, Yamaha MT-03 2021, Yamaha Finn 2021, Yamaha GT125 2021 dan juga Yamaha Grand Filano Hybrid 2021.

Bagi model naked Yamaha MT-03 2021, ianya merupakan naik taraf terkini di bahagian warna, di mana model tersebut kini didatangkan dua skim warna terbaharu Pastel Dark Grey dan Deep Purplish Blue Metallic. Kedua-dua skim warna tersebut menggantikan tiga skim warna terdahulu, anda boleh melihatnya melalui artikel terdahulu di sini.

Spesifikasi teknikal masih sama seperti model tahun sebelumnya. Yamaha MT-03 2021 dikuasakan enjin bersesaran 321cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4-valves) dengan keluaran kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dan tork maksimum 29Nm @ 9,000rpm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Yamaha MT-03 2021 seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock dengan ciri pelarasan prabeban, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS dua saluran, panel instrumen digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, tangki bahan api maksimum 14 liter dan tayar dalam saiz 110/70R17 dan 140/70R17.

Untuk pasaran Thailand, model tersebut ditawarkan pada harga jualan sebanyak THB 187,700, bersamaan RM 24,145.35. Untuk pasaran Malaysia, pihak pengedarnya Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. tidak menawarkan model Yamaha MT-03, sebaliknya menawarkan model Yamaha MT-25, dengan harga jualan asasnya RM 21,500.00.