Suzuki baru-baru ini telah memperkenalkan pilihan warna baharu Peal Brilliant White / Champion Yellow No.2 untuk model Suzuki GSX-S750 2021 di pasaran UK. Melalui pemerhatian di dalam laman sesawang rasmi Suzuki UK, pilihan warna itu ditawarkan bersama-sama warna terdahulu iaitu Metallic Oort Grey / Glass Sparkle Black (BD7).
Suzuki GSX-S750 dilengkapi enjin bersesaran 749cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, in-line four) yang berkuasa, dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Prestasi kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 114PS @ 10,500rpm dengan tork puncak 81Nm @ 9,000rpm. Tangki bahan api model itu hadir dengan kapasiti penuh 16 liter.
Spesifikasi lainnya termasuklah fork depan KYB jenis upside-down 41 mm dengan ciri pelarasan prabeban, sistem brek ABS dengan cakera depan berkembar berukuran 310 mm, dan rim roda aluminium ringan dengan gaya rekaan agresif bersama-sama tayar Bridgestone BATTLAX HYPERSPORT S21 dengan ciri prestasi kawalan maksimum.
Suzuki GSX-S750 2021 turut dilengkapi teknologi Traction Control², Low RPM Assist, Suzuki Easy Start System dan panel instrumen digital LCD yang hadir dengan pelbagai maklumat untuk panduan pemiliknya. Untuk pasaran UK, jentera naked bergaya sporty itu boleh dimiliki pada harga £7,999.00, bersamaan RM 46,171.48 (kadar semasa).