Pada beberapa hari yang lepas, Yamaha Motor Vietnam telah memperkenalkan versi baharu Special Edition untuk model Yamaha Exciter 155 VVA, yang kini tampil dengan pilihan warna baharu Yellow Gray. Skim warna baharu itu adalah sama dengan skim warna Racing Yellow yang terlebih dahulu diperkenalkan untuk model Yamaha Y16ZR.
Harga yang ditawarkan untuk Yamaha Exciter 155 VVA Special Edition 2021 itu adalah sama dengan harga untuk versi GP Edition, sebanyak VND 50,490,000 (RM 9,065.52). Dengan pengenalan warna baharu tersebut, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam kini menawarkan lima pilihan warna kesemuanya, untuk keempat-empat versi.
Yamaha Exciter 155 VVA 2021 dilancarkan di pasaran Vietnam dalam bulan Disember 2020 yang lepas, dalam tiga versi iaitu Standard, Premium dan GP Edition. Dikuasakan enjin 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, kuasa maksimumnya mencapai 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork 14.4Nm @ 8,000rpm.
Selain pasaran Vietnam dan Malaysia, model moped sporty dan berkuasa itu kini turut dilancarkan di pasaran Filipina dan Singapura. Pasaran Thailand dan Indonesia pula dijangka akan menerima kehadirannya dalam masa terdekat ini. Adakah pilihan warna untuk pasaran Thailand dan Indonesia nanti lebih menarik? Sama-sama kita tunggu.