Menurut laporan daripada beberapa buah blog permotoran tempatan, model terbaharu CFMOTO 800MT 2022 dijangkakan masuk ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan. Harga jualan yang bakal ditawarkan pula dikatakan sekitar RM 50,000.00 sahaja. Model kembara itu sebelum ini baru saja diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran China.
CFMOTO 800MT diperkenalkan dalam dua varian yang berbeza iaitu 800MT Sport dan 800MT Touring. Kedua-duanya dikuasakan enjin KTM bersesaran 799cc yang terbukti berkuasa dan tahan lasak, dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem slipper clutch. Janaan kuasanya mencapai 95hp @ 8,000rpm dengan tork 88Nm @ 6,600rpm.
Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik Bosch, termasuk sistem pendikit ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan iaitu rain, off-road dan road. 800MT Sport dan 800MT Touring kedua-duanya berkongsi tangki bahan api 19 liter yang sama, kerangka jenis tiub keluli dan tempat duduk penunggang dan pembonceng yang luas.
Selain itu ialah suspensi KYB boleh laras sepenuhnya, crash bar, ketinggian pelana 825 mm, skrin boleh laras dan sistem brek J.Juan dengan ABS. Apa yang berbeza di antara kedua-dua varian ialah kelengkapan rim aloi untuk 800MT Sport dan rim berjejari untuk 800MT Touring, yang dibalut tayar depan bersaiz 19 inci dan tayar belakang 17 inci.
Menurut CFMOTO, ciri-ciri standard lain yang melengkapi 800MT adalah seperti skrin TFT berukuran 7 inci dengan sambungan Bluetooth dan fungsi navigasi, sistem cruise control, lampu kabus, pengecas USB dan 12-volt, serta sistem lampu LED sepenuhnya. Bagaimanapun untuk varian Touring, terdapat beberapa ciri tambahan lebih menarik.
Ciri-ciri tambahan tersebut ialah sistem pemantauan tekanan tayar, tempat duduk dan genggaman dengan ciri pemanas, tongkat tengah, quickshifter dua hala, pelindung tangan, pelindung enjin aloi, steering damper dan sistem kunci keyless. Jarak kelegaan bumi 800MT berada pada paras 190 mm, dengan berat dikatakan 225 kg (wet weight).