Gaokin Flame 500 2021 bakal dilancarkan di pasaran China, reka bentuk mirip Suzuki GSX-S1000 2021?

Pasaran motosikal di negara China sangat besar, sehinggakan kita tidak mampu untuk menghafal dan mengenali semua pengeluar motosikal dan model-model yang dijual di pasaran negara tersebut. Antara model terbaru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ialah Gaokin Flame 500 2021, yang tampil mirip model Suzuki GSX-S1000 2021.

Sebenarnya, kita tidak boleh mengatakan Gaokin Flame 500 sebagai sebuah model klon atau copycat yang meniru gaya rekaan model Suzuki GSX-S1000 2021. Ini kerana rekaan atau paten model tersebut telah pun wujud sejak tahun lepas lagi, lama sebelum Suzuki GSX-S1000 2021 versi terbaharu dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.

Gaokin Flame 500 mempunyai persamaan dengan model Gaokin 500 di pasaran China. Pada masa yang sama, Gaokin 500 dijual di pasaran Eropah di bawah jenama Brixton Motorcycles, dan ianya dikenali dengan nama Brixton Crossfire 500. Motosikal China untuk pasaran Eropah. Memang benar dan ianya bukanlah suatu perkara yang pelik.

Aspek rekaan Gaokin Flame 500 boleh dikatakan menarik dan sporty, seperti mana yang dapat dilihat pada rekaan lampu depannya jenis menegak. Enjinnya bersesaran 486cc (In-line 2-cylinder, 4-stroke, water-cooled) dan dipadankan transmisi 6-kelajuan. Jumlah kuasa kudanya pula dikatakan telah dipertingkatkan kepada 37kW (50.3PS).

Spesifikasi teknikal yang melengkapi Gaokin Flame 500 2021 terbaharu ini antaranya termasuklah fork depan USD, sistem brek cakera dengan ABS, lengan ayun belakang aluminium, panel meter digital dan sistem lampu LED. Untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap, sama-sama kita tunggu pelancaran rasminya di pasaran China tidak lama lagi.

Untuk maklumat tambahan, Brixton Motorcycles merupakan firma pengeluar motosikal yang berpengkalan di Eropah. Rekaan model-model keluarannya dikatakan dilakukan di Eropah, cuma bahagian pengeluaran diserahkan kepada syarikat tempatan di China. Ianya merupakan kolaborasi pintar di antara syarikat Eropah dan syarikat dari China.

Sumber : Inf.news