Team Classic Suzuki yang berpengkalan di UK merupakan antara pihak yang terjejas gara-gara pandemik Covid 19 yang bermula sejak tahun lepas. Oleh kerana kurangnya aktiviti perlumbaan, pasukan tersebut tidak membuang masa begitu sahaja, sebaliknya tampil dengan sebuah projek baharu yang boleh dikatakan begitu unik dan luar biasa.
Menggunakan jentera perlumbaan WorldSBK Alstare GSX-R1000 tahun 2008, mereka telah membangunkan sebuah model Suzuki Katana versi custom yang kelihatan cukup gagah dan berkuasa. Enjin pada model tersebut telah disegarkan semula sepenuhnya, yang kini dikatakan telah menghamburkan kuasa maksimum mencapai sekitar 200hp.
Katana tersebut masih menggunakan kerangka daripada jentera Alstare WSBK, yang digabungkan bersama-sama lengan ayun dan subframe custom, yang ditempah khusus daripada Alpha Performance Fabrications. Bahagian tersebut kemudiannya didatangkan sistem suspensi berkembar, yang kini menggunakan khidmat penyerap hentak Öhlins.
Di bahagian roda, ianya menggunakan sepasang rim Dymag CH3 yang bergaya klasik, lengkap dengan sistem brek Brembo dan fork depan Öhlins. Tangki bahan api daripada jentera asal WSBK kemudiannya digabungkan dengan kemas pada unit tempat duduk perlumbaan daripada Team Classic Suzuki, seterusnya dipadankan lampu LED tipis.
Melengkapkan sebuah Katana ialah kepala depannya, merupakan versi ‘new old stock’ daripada program alat ganti tulen vintaj Suzuki (Vintage Parts Programme). Ianya telah diubahsuai dan dilebarkan sebanyak 1 inci sebelum dipasang dengan kemas, dan turut menerima sentuhan panel karbon Racefastener, termasuk pada unit tempat duduk.
Untuk penampilan yang lebih sporty, kepala ikonik jentera itu dilengkapi lampu depan LED, sementara logo Katana menghiasi pelana baharu buatan Race Seats dari Itali. Bagi peminat motosikal custom dan peminat jentera legenda Suzuki Katana, pastinya berpuas hati dengan penampilan projek terbaharu daripada Team Classic Suzuki ini.