Triumph Speed Twin 2021 terima naik taraf terbaharu, tempahan kini dibuka untuk pasaran Malaysia

Triumph Motorcycles baru-baru ini memperkenalkan Triumph Speed Twin 2021, yang kini tampil dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik. Antaranya ialah enjin 1,200cc (liquid cooled, 8 valve, SOHC, 270° crank angle parallel twin) yang melengkapi model tersebut kini bertaraf Euro 5, namun dengan jumlah kuasa yang lebih tinggi.

Jumlah keluaran kuasa kini mencapai paras 100PS @ 7,250rpm, tambahan sebanyak 3PS berbanding enjin model sebelumnya. Keluaran tork sebanyak 112Nm pula kini tiba pada putaran enjin yang lebih rendah kepada hanya 4,250rpm. Enjin berprestasi tinggi itu dipadankan transmisi 6-kelajuan dengan teknologi multi-plate torque assist clutch.

Tahap pengendalian Triumph Speed Twin 2021 juga kini telah dipertingkatkan, dimana ianya kini dilengkapi fork depan USD daripada Marzocchi. Prestasi pemberhentian pula kini ditugaskan kepada sistem brek depan dengan kaliper radial monoblock Brembo 4-piston M50, bersama-sama cakera Brembo jenis berkembar dengan diameter 320 mm.

Seterusnya bagi memastikan tahap cengkaman yang luar biasa, Speed Twin 2021 kini dilengkapi tayar standard Metzeler Racetec RR, bersama-sama rim roda baharu (new cast aluminium wheels) yang ringan, kedua-duanya bersaiz 17 inci dengan gaya rekaan 12 bilah. Ketinggian tempat duduk 809 mm melengkapkan ciri tunggangan ergonomik.

Triumph Speed Twin 2021 juga telah menerima penambahbaikan terkini sistem Riding Mode (Rain, Road and Sport), di samping tampil dengan pelbagai teknologi standard berspesifikasi tinggi seperti ABS, switchable traction control, lampu LED dengan DRL, soket pengecas USB di bawah tempat duduk dan sistem keselamatan immobiliser.

Untuk tahun 2021, Triumph Speed Twin boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik seperti Red Hopper, Matt Storm Grey dan Jet Black. Berat model roadster yang bergaya moden klasik itu ialah 216 kg (wet weight), dengan kapasiti tangki bahan api 14.5 liter. Di pasaran UK, harga jualannya bermula dari £ 11,000.00, bersamaan RM 64,232.04.

Untuk pasaran Malaysia pula, pengedar rasmi Triumph Motorcycles iaitu Fast Bike Sdn Bhd baru saja mengumumkan tempahan untuk model tersebut kini telah dibuka. Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak RM 77,900.00 untuk pilihan warna Jet Black, manakala untuk pilihan warna premium, harganya ditetapkan sebanyak RM 78,900.00.

Bagi setiap tempahan yang dibuat sebelum tarikh 15hb. Julai 2021, Fast Bike Sdn Bhd menawarkan servis minyak pelincir percuma sebanyak dua kali, tawaran diskaun 35 % untuk pembelian aksesori, dan juga satu pilihan pakej aksesori percuma daripada tiga pilihan yang disediakan sama ada pakej perlindungan A dan B atau pakej gaya C.