Yamaha Exciter 155 VVA GP Edition 2021 bereksperimen dengan kepala Yamaha X1R

Di pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA GP Edition 2021 merupakan versi teratas di kalangan model moped tersebut, ditawarkan pada harga sebanyak 50,490,000 VND (RM 9,050.76). Pilihan warna tunggal yang ditawarkan untuk model tersebut ialah Blue GP. Penampilan dan spesifikasinya pula boleh dikatakan sempurna dan serba lengkap.

Bagaimanapun terdapat pemilik model berkenaan di pasaran Vietnam yang merasakan bahawa model tersebut boleh dipertingkatkan lagi penampilannya, melalui eksperimen yang mungkin belum pernah dilakukan oleh pemilik Yamaha Exciter 155 VVA yang lain. Caranya ialah dengan menukar kepalanya menggunakan kepala milik Yamaha X1R.

Yamaha X1R pernah ditawarkan di pasaran Thailand, tampil unik dengan rekaan yang mirip antara gabungan model moped dan skuter. Kepala Yamaha X1R sememangnya ringkas dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Mungkin disebabkan itulah pemilik Yamaha Exciter 155 VVA GP Edition ini telah menggunakan kepala Yamaha X1R.

Melihat kepada gambar-gambar model tersebut yang kini tampil dengan kepala Yamaha X1R, penampilan baharunya itu boleh dikatakan agak menarik dan luar biasa. Namun percayalah, tiada pemilik Yamaha Y16ZR 2021 di pasaran Malaysia yang berani untuk melakukan eksperimen seperti itu, kecuali untuk menjadikan motosikalnya lebih unik.

Sumber : 2banh.vn