Yamaha 135LC V2 merupakan salah sebuah model moped popular di pasaran negara kita suatu ketika dahulu, sebelum kedatangan model Yamaha Y15ZR. Kini ianya masih lagi dijual, dengan versi paling terkini dilancarkan pada awal Januari 2021 yang lepas. Setakat ini tidak pasti sampai bilakah model berkenaan akan terus berada di pasaran.
Oleh kerana popularitinya, sama ada kerana enjinnya yang berkuasa atau kerana reka bentuknya yang sporty dan menawan, Yamaha 135LC V2 sejak beberapa tahun yang lepas seringkali menjadi inspirasi kepada syarikat pengeluar motosikal dari China. Yang terbaru ialah melalui model Gymotor Warrior 3 2021 ini yang kelihatan hampir serupa.
Bagaimanapun Gymotor Warrior 3 hanya dikuasakan enjin 107cc (1-cylinder, 4-stroke, air-cool, Single Over Head Camshaft) dengan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 6.7hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum mencapai 6.5Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 4.0 liter.
Gymotor Warrios 3 2021 ini tidak mungkin akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Ini kerana ‘trend’ terkini motosikal moped yang menjadi pilihan ramai di pasaran tempatan ialah model-model yang dilengkapi enjin bersesaran 150cc dan ke atas. Pada pendapat anda, adakah Gymotor Warrior 3 2021 ini menjadi penerus legasi Yamaha 135LC V2?