Berapakah kelajuan maksimum sebenar Honda Winner X @ Honda RS150R V3 2021?

Oleh kerana Honda Winner X @ Honda RS150R V3 2021 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, antara persoalan yang sedang bermain-main di fikiran peminat model tersebut pada ketika ini ialah berapakah kelajuan maksimumnya? Adakah Honda Winner X akan mampu mencapai kelajuan maksimum (top speed) sehingga 150 km/j?

Untuk mendapatkan jawapannya, Arena Motosikal telah membuat carian maklumat di dalam internet, termasuk di dalam laman sosial Facebook dan laman YouTube, namun jawapan yang diperolehi adalah pelbagai. Malah ada yang mengatakan Honda Winner X mampu mencapai kelajuan maksimum 175 km/j, yang pastinya sukar dipercayai.

Menjengah ke laman Wikipedia pula, didapati tiada maklumat atau artikel rasmi untuk Honda Winner X, sebaliknya yang ada hanyalah artikel untuk model Honda Winner 150. Menurut Wikipedia, Honda Winner, Honda RS150R dan Honda Supra GTR mempunyai kelajuan maksimum 145 km/j (speedometer), berdasarkan maklumat pengeluarnya.

Namun begitu melalui maklumat tambahan oleh Wikipedia, berdasarkan ujian pecutan yang dilakukan oleh tabloid Otomotif dari Indonesia pada Jun 2016, kelajuan maksimum Honda Supra GTR yang berjaya direkodkan hanyalah 136 km/j (speedometer) sahaja. Melalui ukuran GPS (Racelogic) pula, kelajuan maksimumnya mencapai 121.2 km/j.

Jadi oleh kerana Honda Winner X masih menggunakan enjin dan sistem transmisi yang sama dengan model Honda RS150R V2, serta mengeluarkan jumlah kuasa yang sama iaitu 15.6PS (11.5kW) / 9,000rpm, maka tidak salah kalau kita menganggarkan kelajuan maksimum Honda Winner X pada meter kelajuan (speedometer) ialah 135 km/j.

Tambahan pula Honda Winner X mempunyai berat 123 kg (Standard) dan 124 kg (ABS) berbanding Honda RS150R V2 yang mempunyai berat hanya 120 kg. Dengan kelajuan maksimum seperti itu, sebenarnya sudah memadai untuk sesebuah motosikal di dalam kelas 150cc. Cuma ianya mungkin tidak mampu mengejar Yamaha Y16ZR 2021.

Sumber gambar : Bikeit.gr