Nimota City Sport RS 125 pernah dijual di pasaran Malaysia, versi klon daripada model Honda CS1

Masihkah ada yang mengingati sebuah model moped keluaran Honda yang bernama Honda City Sport One, atau lebih dikenali dengan nama Honda CS1? Model itu pernah dijual di pasaran Indonesia bermula dari tahun 2008 sehingga 2014. Oleh kerana reka bentuknya yang mendahului zaman, jualannya dikatakan kurang memberangsangkan.

Di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda tidak pernah menawarkan Honda CS1, kerana mereka tahu citarasa sebenar rakyat Malaysia. Namun itu semua bukanlah halangan untuk sebuah syarikat tempatan, Nimota Motorcycles, untuk melancarkan Honda CS1 versi mereka sendiri. Model tersebut diberi nama baharu Nimota City Sport RS 125.

Berdasarkan maklumat yang agak terhad, Nimota City Sport RS 125 dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2010, dan jualannya bertahan sehingga beberapa tahun selepas itu. Harganya dikatakan antara RM 4,200.00 sehingga RM 4,500.00. Selain itu, model tersebut turut ditawarkan dalam versi yang lebih sporty, Nimota City Sport R.

Nimota City Sport RS 125 sebenarnya ialah model motosikal keluaran China, namun pada kira-kira 10 tahun yang lalu, ramai peminat motosikal tempatan yang tidak sedar mengenai perkara tersebut. Ramai yang mengatakan ianya merupakan model keluaran tempatan. Sehingga kini, pasaran China masih lagi menawarkan model klon tersebut.

Ketika ini pada tahun 2021, kelibat Nimota City Sport RS 125 jika masih berada di atas jalan raya, ianya merupakan suatu pandangan yang sangat rare. Dilengkapi enjin 125cc dan sistem brek cakera depan dan belakang, spesifikasi yang ditawarkan agak menarik. Ianya mungkin menjadi pilihan untuk anda yang mahukan kelainan dan keunikannya.