Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada beberapa hari yang lepas secara rasminya memperkenalkan Yamaha NMAX 2021 untuk pasaran Malaysia. Model skuter tersebut kini didatangkan pilihan dua warna terbaharu yang diberi nama Icon Grey dan Power Grey. Harga jualan asasnya pula kekal sama iaitu sebanyak RM 8,998.00.
Yamaha NMAX 2021 dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 155cc VVA, dengan kuasa maksimum 15.15hp (11.3kW) 8,000rpm dan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik V-belt. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 7.1 liter.
Selain reka bentuk yang bergaya, ianya turut dilengkapi Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, lampu utama dengan enam mentol LED, lampu belakang LED, lampu keselamatan hazard, panel meter digital LCD yang lebar, butang menu, sistem Stop & Start, dan ruang lantai yang luas untuk tunggangan lebih selesa.
Selain itu Yamaha NMAX 2021 turut dilengkapi ciri-ciri praktikal seperti soket pengecas 12V untuk mengecas telefon bimbit dan ruang barangan peribadi seluas 23.3 liter yang boleh memuatkan topi keledar full face berukuran XL. Bagi setiap pembelian model itu, pembeli akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.