Honda Winner X seperti mana yang kita ketahui selama ini hanya dijual secara rasmi di pasaran Vietnam sahaja. Bagaimanapun ianya didapati turut dijual di beberapa pasaran lain antaranya seperti Kemboja, Singapura dan Burkina Faso, yang dibawa masuk oleh pengimport bebas. Paling terkini ialah Honda Winner X turut dijual di pasaran Jepun.
Menurut sumber daripada laman web motorcycle.goobike.com yang berpengkalan di Jepun, syarikat tersebut menawarkan model Honda Winner X dalam versi Standard dan ABS, dengan harga jualannya bermula dari ¥240,400 (RM 9,135.93) sehingga ¥261,500 (RM 9,937.79). Antara pilihan warna yang ditawarkan termasuklah warna Tricolor HRC.
Persoalannya ialah adakah benar Honda Winner X mula dijual secara rasmi di pasaran Jepun oleh Honda? Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang rasmi Honda Motor Co., Ltd. (Japan), didapati tiada paparan atau maklumat mengenai model Honda Winner X. Ini bermakna ianya telah dibawa masuk dan dijual oleh pengimport bebas.
Oleh itu agak menghairankan kenapa Honda Winner X kini mula ditawarkan di pasaran Jepun. Adakah kerana terdapat permintaan untuk model moped sporty dan berprestasi itu daripada peminat motosikal di Jepun? Untuk pasaran Malaysia pula, Honda Winner X dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi, namun tarikh sebenar belum diketahui.