Model super moped terbaharu Benelli R18i 2021 secara rasminya telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 11hb. April 2021 yang lalu. Antara kejutan daripada model tersebut ialah ianya tidak dilengkapi enjin bersesaran 200cc seperti mana yang sering digembar-gemburkan sebelum ini, dan tidak juga dilengkapi enjin bersesaran 180cc.
Sebaliknya Benelli R18i hanya dilengkapi enjin bersesaran 174cc, dan pastinya ramai peminat motosikal tempatan tidak menjangkakannya. Benelli Malaysia tentu mempunyai alasan yang tersendiri kenapa mereka tidak terus menggunakan enjin dalam sesaran yang lebih besar, sekurang-kurangnya 180cc, atau mungkin juga 185cc dan 200cc.
Berdasarkan pemerhatian terhadap strategi perniagaan syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar motosikal Benelli dan SYM di pasaran tempatan, keputusan menggunakan enjin 174cc pada model Benelli R18i adalah berdasarkan pertimbangan komersial. Situasinya sama seperti mana model SYM Star SR 170 di pasaran Vietnam.
Di pasaran Malaysia, SYM VF3i 185 ditawarkan dengan enjin bersesaran 183cc. Untuk pasaran Vietnam pula, model tersebut dijenamakan semula dengan nama SYM Star SR 170, dan hanya dilengkapi enjin bersesaran 174.5cc sahaja. Apakah alasan di sebalik pengurangan kapasiti enjin model tersebut apabila dilancarkan di pasaran Vietnam?
Untuk makluman sekiranya anda belum tahu, kelas lesen motosikal di pasaran Vietnam terdiri daripada dua kelas iaitu A1 dan A2. Bagi kelas lesen A1, ianya dikhususkan bagi motosikal dengan saiz enjin di antara 50cc sehingga 175cc, sementara kelas lesen A2 adalah untuk motosikal dengan saiz enjin yang lebih besar iaitu melebihi 175cc.
Oleh kerana Benelli ketika ini menawarkan model Benelli RFS 150 di pasaran Vietnam, ianya dijangka akan digantikan dengan Benelli R18i tidak lama lagi. Jadi adalah penting untuk model tersebut dilengkapi enjin dalam sesaran yang bersesuaian dengan kelas lesen A1, kerana pasaran untuk kelas lesen A2 di pasaran Vietnam tidak terlalu ramai.
Situasinya adalah sama dengan kelas lesen B2 dan B Full di pasaran Malaysia. Majoriti pemegang lesen motosikal di Malaysia adalah dalam kelas B2 berbanding pemilik lesen kelas B Full. Mungkin itu adalah sebab utama kenapa Benelli R18i hanya dilengkapi enjin bersesaran 174cc, atau adakah anda merasakan alasan tersebut kurang tepat?