Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 99,900.00

Triumph Motorcycles Malaysia pada empat hari yang lepas dengan rasminya telah melancarkan model terbaharu Triumph Speed Triple 1200 RS 2021. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 99,900.00 sahaja. Untuk pasaran UK pada bulan Januari 2021 yang lalu, model itu dilancarkan dengan harga £15,100 (RM 85,444.07).

Didatangkan dalam varian tunggal RS, dua pilihan warna yang boleh didapati ialah Matt Silver Ice dan Sapphire Black. Enjin serba baharunya berkapasiti 1,160cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, sistem assist & slipper clutch dan Triumph Shift Assist up-and-down quickshifter.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berprestasi tinggi itu mencapai angka 180PS @ 10,750rpm dengan tork maksimum 125Nm @ 9,000rpm. Nisbah kuasa kepada berat untuk model berkenaan dikatakan cemerlang, yang telah disumbangkan oleh berat keseluruhan motosikal yang berada pada paras hanya 198 kg (wet weight).

Triumph Speed Triple 1200 RS seterusnya dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi daripada Öhlins dengan ciri boleh laras sepenuhnya, untuk kawalan yang lincah, tepat dan dinamik. Melengkapkannya ialah tayar Metzeler RACETEC™ RR dan sistem brek Brembo Stylema, yang mana ianya merupakan kelengkapan premium bertaraf litar.

Teknologi canggih, moden dan pintar yang melengkapi Triumph Speed Triple 1200 RS antaranya merangkumi panel instrumen TFT berukuran 5.0 inci, Optimised Cornering ABS, switchable Optimised Cornering Traction Control (with IMU), 5 mod tunggangan termasuk mod Track dan sistem lampu LED baharu dengan rekaan yang tersendiri.

Ciri-ciri standard lain yang turut ditawarkan antaranya termasuklah sistem kunci keyless sepenuhnya dan sistem sambungan My Triumph Connectivity System. Selain itu ialah sistem bantuan tunggangan elektronik yang dibantu oleh sistem front-wheel lift control yang dipertingkatkan, dengan sistem cruise control untuk keselesaan tunggangan.