Untuk pasaran UK, model sport bike Lexmoto LXR 125 2021 kini telah pun memenuhi piawaian emisi Euro 5, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu yang menarik. Selain daripada versi Standard, model tersebut turut ditawarkan dalam versi SE yang tampil lebih sporty, serta didatangkan dengan beberapa perbezaan spesifikasi teknikal.
Lexmoto LXR SE 125 2021 dilengkapi fork depan jenis upside-down dengan diameter 37 mm, sistem suspensi belakang yang direka semula, lengan ayun buatan aluminium yang ringan dan penggunaan panel meter TFT dengan paparan berwarna sepenuhnya. Skim pilihan warna tunggal yang ditawarkan pula ialah Black/Red yang tampil agresif.
Spesifikasi teknikal yang lain adalah sama seperti model Standard, seperti dikuasakan enjin 125cc dengan satu silinder, sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api EFI, serta dipadankan sistem transmisi 6-kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya kini mencapai angka 12.5hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 6,750rpm.
Lexmoto LXR SE 125 2021 turut dilengkapi sistem brek cakera berkembar di bahagian depan, brek cakera tunggal di bahagian belakang, tayar depan dan belakang berukuran 110/70-17 dan 150/70-17, tangki bahan api 13.5 liter dan berat 167 kg. Harga jualannya ialah sebanyak £ 2,799.99, bersamaan RM 16,126.83 mengikut kadar tukaran semasa.