Yamaha Sirius RC 2021 di pasaran Vietnam terima pilihan warna baharu, harga bersamaan RM 3,808.95

Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Sirius RC 2021 kini didatangkan pilihan warna baharu Light Blue – Black yang lebih menawan, sebagai tambahan kepada empat warna sedia ada iaitu Gray Orange, Rough Black, Red dan juga White. Harga yang ditawarkan untuk model berkenaan masih kekal sama iaitu 21,300,000 VND, bersamaan RM 3,808.95.

Untuk model tahun 2021 ini, Yamaha Sirius RC masih mengekalkan spesifikasi teknikal yang sama, iaitu dikuasakan enjin bersesaran 110.3cc (single-cylinder, 2-valve, SOHC, air-cooled) dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Sistem penyampaian bahan api pada enjin tersebut masih lagi menggunakan sistem konvensional iaitu karburetor.

Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai angka 9.0PS @ 8,000rpm dengan tork 9.0Nm @ 5,000rpm. Yamaha Sirius RC seterusnya dilengkapi tangki bahan api maksimum 4.2 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek depan cakera dan brek belakang jenis dram, serta ukuran tayar depan 70/90 – 17 dan belakang 80/90 – 17.

Ketinggian tempat duduk model tersebut ialah 770 mm, manakala beratnya mencapai 96 kg (wet weight). Antara ciri-ciri menarik pada Yamaha Sirius RC 2021 ini termasuklah lampu depan dan belakang jenis bersepadu, panel meter dengan paparan yang moden dan penggunaan rim aloi aluminium berukuran 17 inci dengan rekaan yang sporty.