Suzuki Gixxer 250 2021 diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, tampil dengan kemaskini warna baharu

Selain daripada model full fairing Suzuki Gixxer SF250 2021, pasaran domestik Jepun baru-baru ini turut menerima kehadiran model naked Suzuki Gixxer 250 2021. Apa yang berbeza berbanding model tahun 2020 ialah ianya kini didatangkan skim pilihan warna terkini Triton Blue Metallic dan Matte Black Metallic, sama seperti model Gixxer SF250.

Aspek teknikal masih kekal sama, dilengkapi enjin bersesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan sistem penyejukan minyak, atau lebih dikenali sebagai Suzuki Oil Cooling System (SOCS). Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.

Untuk penghidupan enjin yang mudah, Suzuki Gixxer 250 dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Pengendalian yang terkawal disumbangkan oleh fork depan 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban.

Melengkapkan ciri keselamatan Suzuki Gixxer 250 ialah sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS dua saluran. Rim roda yang sporty dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 untuk bahagian depan dan 150/60R17 untuk bahagian belakang. Suzuki Gixxer 250 turut dilengkapi fender belakang yang terpasang pada lengan ayun.

Suzuki Gixxer 250 didatangkan panel meter digital LCD dengan pelbagai info penting, lampu depan dan belakang LED, handlebar yang lebih tinggi untuk tunggangan yang lebih tegak dan mudah dikendalikan, penutup di bahagian bawah enjin, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, paip ekzos dengan rekaan berkembar dan berat 154 kg.

Untuk pasaran Jepun, Suzuki Gixxer 250 2021 ditawarkan pada harga jualan sebanyak 448,800 Yen, bersamaan nilai RM 17,021.26 mengikut kadar semasa. Model tersebut akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai tarikh 25 Mei 2021. Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada ianya akan turut dilancarkan pada masa akan datang.