GPX Demon GR200R 2021 kini tiba di pasaran Malaysia, harga jualan RM 11,388.00 sahaja

Salah sebuah model motosikal terbaharu yang dinanti-nantikan sejak tahun lepas ialah GPX Demon GR200R, yang mana ianya merupakan produk daripada negara Thailand. Setakat ini berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli Mudah.my dan beberapa laman Facebook kedai motosikal tempatan, model tersebut telah pun tiba di Malaysia.

Namun begitu GPX Malaysia didapati masih belum membuat pengumuman rasmi akan ketibaan model sport bike sporty itu, mungkin pelancaran rasminya akan berlangsung dalam tempoh terdekat. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, GPX Demon GR200R 2021 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga jualan sebanyak RM 11,388.00 sahaja.

Harga yang ditetapkan itu boleh dikatakan berpatutan, memandangkan model tersebut  didatangkan enjin bersesaran 198cc (satu silinder, dua injap, sejukan cecair, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa yang dihasilkan mencapai 19hp dengan tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm.

Dengan enjin yang berprestasi seperti itu, kelajuan maksimum model tersebut dikatakan mencecah 140+ km/j. Selain itu, ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah kerangka jenis trellis yang kuat, meter digital yang bergaya moden, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan jenis USD dan suspensi belakang monoshock berjenama YSS.

Sistem pemberhentian yang lebih selamat pula diserahkan kepada sistem brek cakera 276 mm di bahagian depan, yang bergandingan dengan brek cakera belakang dengan ukuran 220 mm. Kemudiannya rim berukuran 17 inci dengan rekaan sporty dipadankan bersama-sama tayar depan yang bersaiz 100 / 80-17 dan tayar belakang 140 / 70-17.

GPX Demon GR200R turut dilengkapi tangki petrol dengan kapasiti 10.5 liter, ketinggian tempat duduk pada paras 815 mm dan berat hanya 155 kg. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Red Fire, Black Space dan juga Matt Gray. Untuk maklumat lanjut, anda boleh berkunjung ke mana-mana cawangan pengedar terdekat.