Yamaha Exciter 155 VVA 2021 versi perlumbaan di Vietnam, bersaing dalam acara Yamaha GP 2021 : Feel The Speed

Yamaha Motor Vietnam baru-baru ini pada tarikh 03hb. April 2021 telah menganjurkan acara perlumbaan Yamaha GP 2021 : Feel The Speed. Perlumbaan yang dianjurkan itu merangkumi beberapa kelas, menggunakan tiga buah model motosikal iaitu Yamaha Exciter 155 VVA, skuter Yamaha NVX 155 VVA dan juga model Yamaha Exciter 150.

Bagi model Yamaha Exciter 155 VVA, di sini kita dapat lihat versi perlumbaannya yang dibangunkan sendiri oleh Yamaha Motor Vietnam. Modifikasi yang dilakukan melibatkan peningkatan aerodinamik dan penggunaan komponen perlumbaan untuk prestasi yang lebih baik, antaranya ditaja oleh RCB, Sakura, Eneos, IRC Tire, RK dan juga Akebono.

Di bahagian sistem brek, Yamaha Exciter 155 VVA versi perlumbaan itu didapati hadir dalam dua versi iaitu dengan kaliper satu piston dan kaliper dua piston, mungkin untuk kelas perlumbaan yang berbeza. Tiada maklumat berkenaan naik taraf bahagian enjin, namun ianya dilengkapi sistem ekzos Sakura yang pastinya meningkatkan prestasi.

Menurut Yamaha Motor Vietnam, penganjuran acara perlumbaan Yamaha GP 2021 : Feel The Speed telah berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dan peserta dalam suasana yang begitu meriah. Untuk pasaran Malaysia, sangat menarik sekiranya HLYM turut memperkenalkan Yamaha Y16ZR versi perlumbaan untuk acara yang serupa.

Sumber : Zingnews.vn