Model terbaharu Benelli Super Moped 2021 dilancarkan esok, adakah dilengkapi enjin 175cc atau 200cc?

Benelli Malaysia melalui laman Facebook rasmi mereka sebentar tadi telah menyiarkan video teaser terakhir, menjelang pelancaran rasmi model Super Moped terbaharu pada keesokan harinya. Setakat ini model tersebut dikatakan bakal diberikan nama baharu iaitu Benelli R18i, kerana ianya kini dilengkapi enjin dalam sesaran yang lebih besar.

Bersama-sama paparan video teaser itu juga pihak Benelli Malaysia telah mengajukan soalan adakah motosikal tersebut dilengkapi enjin berkapasiti 200cc? Agak sukar untuk mempercayai bahawa model tersebut dilengkapi enjin sebesar itu, namun pihak Benelli sememangnya mempunyai enjin 200cc yang dipasang pada model Benelli TNT 200.

Benelli TNT 200 diperkenalkan buat pertama kali di pameran motosikal EICMA 2017. Enjin satu silinder pada model berkenaan hadir dalam sesaran 199.4cc dengan kuasa maksimum 21.5bhp @ 9,500rpm dan tork maksimum 18Nm @ 7,000rpm. Prestasi enjin itu cukup berkuasa jika ianya digunakan untuk melengkapi sesebuah model moped.

Namun berbanding enjin 200cc itu yang agak sukar dipercayai untuk melengkapi model moped terbaharu keluaran Benelli, enjin bersesaran 175.3cc satu silinder dengan kuasa maksimum 18PS @ 9,000rpm dan tork puncak 14Nm @ 7,000rpm didapati lebih sesuai dan logik untuk digunakan. Enjin itu ketika ini melengkapi model naked Benelli 180S.

Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat termasuk reka bentuk keseluruhannya, spesifikasi teknikal enjin, sistem elektronik, pelbagai komponen yang melengkapinya dan juga termasuk harga yang bakal ditawarkan, eloklah kita tunggu pelancaran rasmi model Benelli Super Moped 2021 itu pada keesokan hari, bermula jam 8.00 malam.