Lexmoto LXR 125 2021 di pasaran UK kini patuh piawaian emisi Euro 5, harga jualan bersamaan RM 14,171.11

Pada tahun 2020, model sportbike Lexmoto LXR 125 telah dinobatkan sebagai sebuah model sport 125cc terlaris di pasaran UK. Kini untuk musim 2021, model tersebut telah menerima pembaharuan apabila dilengkapi enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5, di samping hadir dalam pilihan warna baharu Black/Gold, Black/White dan Black/Red.

Lexmoto LXR 125 2021 masih dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 125cc dengan satu silinder, sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api EFI, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya kini mencapai angka 12.5hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 6,750rpm.

Antara spesifikasi menarik yang melengkapi Lexmoto LXR 125 ini termasuklah tangki petrol 13.5 liter, fork depan teleskopik dan suspensi belakang monoshock yang selesa, sistem brek cakera depan berkembar dan brek cakera belakang tunggal, tayar depan bersaiz 110/70-17 dan tayar belakang bersaiz 150/70-17, serta berat hanya 167 kg.

Model tersebut juga didatangkan panel instrumen digital dengan pelbagai info, sistem lampu LED yang terang dan tahan lama dan ketinggian tempat duduk 820 mm. Untuk pasaran UK, Lexmoto LXR 125 2021 bertaraf Euro 5 ini boleh dimiliki pada harga jualan sebanyak £ 2,499.99, bersamaan nilai RM 14,171.11 mengikut kadar tukaran semasa.