Honda Winner X Limited Edition 2021 di pasaran Vietnam, versi istimewa tanpa sistem brek ABS

Honda Winner X Limited Edition 2021 di pasaran Vietnam diperkenalkan secara rasmi kira-kira pada dua minggu yang lepas. Menurut sumber dari Vietnam, model tersebut kini telah pun tiba di salah satu bilik pameran wakil pengedar Honda di bandaraya Ho Chin Minh City, dan hanya satu unit sahaja yang ada untuk tatapan para pengunjung.

Walaupun tampil lebih sporty dengan warna dan jalur grafik baharu, spesfikasi teknikal Honda Winner X Limited Edition adalah sama dengan model Honda Winner X yang lain. Malah model tersebut tidak dilengkapi sistem brek ABS seperti beberapa varian Honda Winner X yang lain, sedangkan ianya tampil eksklusif sebagai model edisi terhad.

Walau bagaimanapun terdapat pelekat Limited Edition di bahagian badannya, manakala di bahagian ekzos, warna hitam pada penutup (cover) adalah sama seperti mana yang melengkapi model Winner X berwarna Matte Black. Ianya berbeza berbanding model-model dalam pilihan warna lain yang menggunakan penutup ekzos berwarna perak.

Honda Winner X Limited Edition 2021 dilengkapi enjin 150cc (PGM-FI, 4-stroke, DOHC, 4-valve, single-cylinder, liquid-cooled) dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai paras 15.4hp @ 9,000rpm dengan tork 13.5Nm @ 6,500rpm. Harga jualan yang ditawarkan ialah VND 45,990,000, bersamaan sekitar RM 8,267.83.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Winner X 2021 (Honda RS150R V3) dijangka bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat, memandangkan model tersebut kini telah pun diuji di jalan raya oleh pengeluarnya Boon Siew Honda. Mungkin antara pilihan warna yang akan diperkenalkan nanti ialah Repsol Edition, atau versi Limited Edition seperti ini.

Sumber : Zingnews.vn

Artikel berkaitan :