Model moped terbaharu Honda Winner X 2021 dijangka bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat ini. Buktinya ialah model tersebut ketika ini telah pun menjalani ujian jalan raya di sekitar kawasan Pulang Pinang, tidak jauh dari kilang Boon Siew Honda yang terletak di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Simpang Ampat.
Bagaimanapun ada para peminat Honda Winner X yang sejak lebih setahun yang lalu sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan pelancaran rasminya, telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengubahsuai motosikal Honda RS150R milik masing-masing, dengan menggunakan cover set penuh Honda Winner X yang diimport terus dari Vietnam.
Hasilnya boleh dikatakan hampir sama 100 peratus dengan model asli Honda Winner X kerana kedua-dua model tersebut berkongsi casis yang sama. Sekali pandang tentunya ramai yang tidak menyangka bahawa itu adalah model Honda RS150R yang telah pun ditukarkan (convert) kepada model Honda Winner X yang dijual di pasaran Vietnam.
Antara contoh terkini model Honda RS150R yang telah menjalani proses ubahsuai atau convert kepada model Honda Winner X ialah seperti mana yang dipaparkan di dalam galeri di bawah. Ianya merupakan hasil kerja bengkel Speedway Motorsports Centre yang beralamat di Simpang Ampat, Pulau Pinang untuk salah seorang pelanggannya.
Cover set yang digunakan itu merupakan yang terkini, dilancarkan untuk model Honda Winner X 2020 pada bulan Ogos tahun lepas. Kos sebenar tidak dinyatakan, namun dipercayai ianya berada dalam lingkungan antara RM 4k sehingga ke RM 5k. Mungkin selepas ini cover set Honda Winner X Limited Edition 2021 pula akan menjadi pilihan.