Salah satu aksesori wajib untuk sesebuah model motosikal moped di pasaran tempatan ialah bakul untuk mengisi barang-barang peribadi atau pun barang-barang keperluan yang dibeli dari kedai atau pasar. Namun untuk model Yamaha Y16ZR, pihak pengeluar iaitu HLYM tidak menyediakan bakul sebagai aksesori asli untuk model berkenaan.
Bagaimanapun di pasaran Vietnam, Yamaha Motor Vietnam telah menawarkan pilihan beberapa aksesori asli untuk model Yamaha Exciter 155 VVA. Salah satu aksesori asli yang ditawarkan itu ialah bakul kepit yang dijual pada harga 249,000 VND, bersamaan RM 44.69 sahaja. Reka bentuknya biasa sahaja seperti mana yang kita pernah lihat.
Persoalannya ialah kenapa pihak Yamaha Motor Vietnam tidak menyediakan aksesori asli berupa bakul biasa untuk model Yamaha Exciter 155 VVA ini? Adakah kerana pihak Yamaha Motor Vietnam sememangnya sedar bahawa bakul biasa tidak sesuai untuk dipasang model model tersebut, atau mereka sebenarnya mempunyai alasan lain?
Sebenarnya, bakul biasa masih sesuai dipasang pada model Yamaha Exciter 155 VVA dan Yamaha Y16ZR, cuma ianya perlu direka khas bagi dimuatkan dengan sempurna dan tidak mengganggu penunggang ketika menghidupkan enjin dan juga ketika mengisi petrol. Rekaan bakul tersebut juga perlu sedikit rendah agar tidak menjadi terlalu pelik.
Mungkin selepas ini beberapa jenama besar pengeluar bakul akan mengeluarkan bakul khas untuk Yamaha Y16ZR, atau jika ramai yang tidak kisah, bakul kepit seperti mana buatan Yamaha Motor Vietnam ini adalah pilihan yang sesuai. Namun semestinya kita semua faham bahawa bakul kepit bukanlah budaya dalam dunia motosikal tempatan.