Colove Cobra 321R 2021 dilancarkan di pasaran China, kelajuan maksimum 170 km/j, harga bermula dari RM 14k

Model naked terbaharu Colove Cobra 321R 2021 akhirnya rasmi dilancarkan di pasaran China pada pertengahan bulan Mac yang lepas. Model tersebut telah menarik perhatian ramai dengan penampilan reka bentuknya yang sporty dan enjinnya yang berkuasa.

Untuk pasaran China, Colove Cobra 321R didatangkan dalam dua varian, yang mana varian teratas dilengkapi lengan ayun belakang jenis sebelah (single-sided swing arm), manakala varian standard kekal dengan lengan ayun biasa di bahagian kanan dan kiri.

Pilihan warna yang ditawarkan untuk Colove Cobra 321R ialah tiga kesemuanya iaitu Turquoise, Peony dan Dark Blood. Harga jualan untuk varian teratas ialah CNY 23,980 (RM 15,126.86), sementara varian standard berharga CNY 22,380 (RM 14,117.56).

Colove Cobra 321R dikuasakan enjin dua silinder bersesaran 322cc DOHC 8-valve dengan sistem sejukan cecair, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimumnya mencapai 39.5hp @ 10,500rpm dengan tork 29Nm @ 9,000rpm.

Dengan berat hanya 149 kg, model naked tersebut dikatakan mampu memecut bermula dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh masa hanya 5.6 saat. Kelajuan maksimumnya juga boleh dikatakan begitu impresif apabila mampu mencapai sehingga angka 170 km/j.

Colove Cobra 321R turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital LCD bersaiz besar, fork depan jenis upside-down, suspensi belakang monoshoc, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran yang boleh dimatikan, serta sistem ekzos yang tampil sporty.

Dengan reka bentuk yang menarik dan sporty, harga jualan yang berpatutan dan jumlah kuasa serta prestasi yang begitu memuaskan, Colove Cobra 321R ini dijangka mampu memberikan saingan kepada pelbagai model motosikal naked lain di pasaran China.

Sumber : new.qq.com