Honda perkenal dua model klasik moden terbaharu GB350 dan GB350 S 2021 untuk pasaran domestik Jepun

Untuk pasaran India sebelum ini, Honda memperkenalkan dua model terbaharu yang bergaya klasik moden iaitu Honda H’ness CB350 2021 dan Honda CB350RS 2021. Kini untuk pasaran domestik Jepun, dua model tersebut telah pun diperkenalkan baru-baru ini dengan nama baharu Honda GB350 2021 dan Honda GB350 S 2021.

Honda GB350 dan GB350 S dikuasakan enjin yang sama bersesaran 348cc (air-cooled 4-stroke OHC single cylinder), seterusnya dipadankan transmisi lima kelajuan dengan kelengkapan sistem Assist & Slipper Clutch. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 20PS @ 5,500rpm dengan tork puncak 29Nm @ 3,000rpm. Kedua-dua model tersebut kemudiannya turut dilengkapi teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Sistem suspensi untuk kedua-dua model itu terdiri daripada fork depan jenis teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang pula didatangkan dengan ABS sebagai ciri standard. Untuk model GB350, ianya dilengkapi tayar depan dan belakang yang berukuran 19 inci dan 18 inci, manakala GB350 S hadir dengan tayar depan belakang berukuran 19 inci dan 17 inci.

Honda GB350 dan GB350 S juga mempunyai ketinggian tempat duduk yang berbeza, masing-masing dengan paras 166 mm dan 168 mm, termasuk perbezaan berat iaitu 180 kg untuk GB350 dan 178 kg untuk GB350 S. Sistem lampu adalah sama iaitu LED sepenuhnya, termasuk panel instrumen Advanced Digital-Analogue Speedometer.

Honda GB350 didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik seperti Matte Jeans Blue Metallic, Matt Pearl Morion Black dan Candy Chromosphere Red. Bagi model GB350 S, dua pilihan warnanya ialah Pearl Deep Mud Gray dan Gunmetal Black Metallic. Harga jualan untuk Honda GB350 2021 adalah sebanyak 550,000 Yen (RM 20,569.11), diikuti oleh harga sebanyak 594,000 Yen untuk Honda GB350 S 2021 (RM 22,214.63).

Setakat ini selain daripada pasaran India dan Jepun, masih belum dapat dipastikan jika kedua-dua model tersebut akan turut ditawarkan di pasaran lain, terutamanya pasaran ASEAN termasuk Malaysia. Harapan untuk melihat Honda GB350 dan GB350 S masuk ke pasaran Malaysia mungkin ada, kerana model seperti ini mempunyai ramai peminat.

Artikel Popular Minggu Ini :