Honda CRF250 Rally 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia

Pada pertengahan bulan Mac 2021 yang lepas, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dengan rasminya melancarkan model kembara terbaharu Honda CRF250 Rally 2021 untuk pasaran Malaysia. Menurut Boon Siew Honda, DNA gaya dan rekaan model tersebut yang sporty diinspirasikan daripada jentera perlumbaan HRC CRF450 Rally Dakar.

Untuk pemiliknya, Honda CRF250 Rally terbaharu ini dikatakan bakal menawarkan aksi pengembaraan sebenar, dengan ciri-cirinya sebagai sebuah jentera yang lebih ringan dan mudah dikendalikan. Model tersebut juga kini dikatakan lebih lincah dan tangkas, serta turut dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan pengembaraan yang lebih baik.

CRF250 Rally dikuasakan enjin bersesaran 250cc (Liquid-cooled, 4 stroke, DOHC, 4-Valve Single Cylinder) dengan teknologi PGM-FI, seterusnya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 24.5hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 23Nm @ 6,500rpm.

Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 12.8 liter. Beralih ke bahagian suspensi, fork depan CRF250 Rally jenis upside down 43 mm bekerja bersama-sama suspensi belakang Pro Link. Sistem brek cakera depan dan belakang dilengkapi ABS, dengan ABS di bahagian roda belakang boleh dimatikan.

Berat untuk CRF250 Rally model tahun 2021 ini dikatakan telah berkurangan sehingga 5 kg, hasil penggunaan kerangka dan lengan ayun baharu, kepada berat keseluruhan terkini hanya 152 kg (kerb weight). Tunggangan yang lebih selesa kini disumbangkan oleh pelana yang lebih luas, termasuklah tambahan tempat pemijak kaki jenis getah.

Lebih dari itu, CRF250 Rally kini tampil dengan lampu utama LED yang direka semula, skrin penghadang angin jenis terapung untuk lebih perlindungan, panel instrumen digital dengan ciri baharu iaitu penunjuk posisi gear dan meter tahap penggunaan bahan api, serta tayar depan dan belakang masing-masing dalam saiz 80/100-21 dan 120/80-18.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CRF250 Rally 2021 didatangkan dalam pilihan warna tunggal Extreme Red. Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak RM 27,599.00 (harga asas tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminan yang diberikan ialah selama 2 tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba terdahulu.

Artikel Popular Minggu Ini :