Kenapakah Yamaha Y16ZR 2021 menjadi kegilaan ramai?

Yamaha Y16ZR 2021 kini telah rasmi berada di pasaran tempatan. Sejak kelmarin, ada yang telah pun menerima motosikal masing-masing, manakala pembeli yang lain pula sedang menanti penuh debaran ketibaan motosikal masing-masing. Pada masa yang sama, tempahan untuk model berkenaan didapati terus meningkat dengan ketara.

Persoalannya ialah kenapakah Yamaha Y16ZR ketika ini menjadi sebuah motosikal kegilaan ramai? Pasti ada sebab-sebab tertentu yang tidak sukar untuk kita bincangkan, dan antara sebab-sebab utamanya mungkin seperti mana di dalam senarai berikut.

Reka bentuk yang sporty dan menawan

  • Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Yamaha Y16ZR mempunyai reka bentuk yang sangat sporty dan menawan. Mungkin inilah kelebihan Yamaha selama ini kerana mereka mampu menghasilkan sebuah motosikal moped yang kelihatan sangat cantik dan berjaya menarik perhatian ramai pembeli. Rekaan bahagian kepalanya pula bukanlah pelik, sebaliknya unik dan sesuai dengan penampilannya.

Dilengkapi enjin yang canggih dan berkuasa

  • Enjin 155cc VVA pada model Yamaha Y16ZR ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 17.7hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Lebih dari itu ianya dilengkapi transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kelajuan maksimumnya pula dikatakan mampu mencecah sehingga 155 km/j, antara faktor utama kenapa model ini menjadi pilihan kebanyakan pembeli.

Mempunyai sistem kunci pintar yang praktikal dan memudahkan

  • Yamaha Y16ZR dilengkapi sistem kunci pintar yang canggih dan memberikan lebih kemudahan kepada pemiliknya. Enjin motosikal boleh dihidupkan dengan mudah dengan hanya memutar butang tanpa perlu memasukkan kunci. Sistem itu juga mempunyai fungsi ‘panggil-balik’ untuk mencari kedudukan motosikal. Ianya juga dilengkapi sistem ‘immobilizer’ untuk mencegah risiko kecurian. Setakat ini tiada motosikal moped lain di pasaran yang dilengkapi dengan ciri tersebut.

Tangki bahan api mempunyai kapasiti isian yang lebih besar

  • Salah satu faktor kritikal di dalam pembelian sesebuah motosikal ialah kapasiti tangki bahan apinya. Oleh itu Yamaha Y16ZR mempunyai kelebihan tersendiri apabila ianya didatangkan dengan kapasiti maksimum tangki bahan api 5.4 liter. Dengan tangki petrol yang lebih besar, kekerapan berhenti di stesen minyak akan berkurangan, malah jarak tunggangan dalam perjalanan akan menjadi lebih jauh.

Panel meter digital sepenuhnya dan soket kuasa 12V DC

  • Yamaha Y16ZR hadir dengan panel meter digital sepenuhnya, dengan paparan pelbagai informasi serba lengkap. Panel unit digital LCD baharu itu memaparkan semua informasi seperti kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear, penunjuk VVA dan lain-lain pada dasar yang gelap, memberikan kontras grafik yang jelas. Soket kuasa 12V DC yang tersedia pula memberi kemudahan untuk mengecas telefon bimbit, salah satu ciri yang boleh dikatakan sangat penting pada masa kini.

Sistem brek cakera depan yang lebih mantap

  • Walaupun belum dilengkapi sistem brek ABS, namun Yamaha Y16ZR dilengkapi angkup brek dua piston pada roda hadapan yang menawarkan kestabilan ketika membrek, dengan saiz brek cakera hadapan yang berukuran 245mm. Bersama-sama dengan sistem brek cakera belakang, Yamaha Y16ZR menawarkan ciri-ciri keselamatan yang boleh dipercayai dalam setiap situasi tunggangan.

Kemudahan untuk mendapatkan alat ganti di mana saja

  • Telah menjadi budaya pemilik motosikal di Malaysia selama ini, bahawa sesebuah model motosikal itu perlulah mempunyai alat ganti yang mencukupi dan mudah diperolehi di mana-mana sahaja. Oleh kerana reputasi Yamaha selama ini boleh dikatakan sangat baik, jadi bakal pembeli Yamaha Y16ZR tidak berasa bimbang untuk memilikinya, kerana mereka percaya alat gantinya akan mudah diperolehi.

Terdapat pilihan pelbagai peralatan aftermarket di pasaran 

  • Selain daripada kemudahan alat ganti, Yamaha Y16ZR juga bakal mempunyai pilihan pelbagai peralatan aftermarket di pasaran selepas ini. Buktinya ialah pada model Yamaha Y15ZR V2 yang selama ini sangat mudah untuk diubahsuai. Sama ada untuk menjadikan penampilannya lebih cantik dan sporty, bagi meningkatkan lagi kelajuannya, atau sekadar menukar ekzos daripada standard kepada ekzos perang, semuanya akan mudah diperolehi di pasaran selepas ini.

Harga terpakai yang kekal tinggi dan munasabah

  • Pernahkah anda membeli sesebuah model motosikal pada harga yang tinggi dan apabila cuba menjualnya semula, harga yang ditawarkan sangat rendah? Situasi tersebut dipercayai tidak akan berlaku pada model Yamaha Y16ZR, berdasarkan pengalaman terhadap model Yamaha Y15ZR V2. Ramai yang membeli sesebuah motosikal berpandukan kepada paras harga jualan apabila dijual semula nanti. Oleh sebab itu tidak hairanlah Yamaha Y16ZR menjadi pilihan utama pembeli.

Kesimpulannya, Yamaha Y16ZR 2021 mempunyai pelbagai kelebihan yang tersendiri dan sukar ditandingi oleh mana-mana pesaingnya yang lain. Namun perlu disebutkan di sini bahawa satu-satunya kelemahan model tersebut ialah harga jualan tunainya yang kini didapati telah menjangkau ke paras lebih tinggi, sekitar RM 13k sehingga RM 15k.

Apabila difikirkan balik, harga yang terlalu tinggi akan menyebabkan pembelian untuk model berkenaan mungkin tidak lagi berbaloi. Tambahan pula pelbagai model-model lain pada julat harga yang sama menawarkan spesifikasi yang lebih baik, di samping harga untuk model-model moped lain kekal berada sekitar RM 7k sehingga RM 10k.

Artikel Popular Minggu Ini :