Yamaha MT-07 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga jualan bersamaan RM 38,556.59

Pada beberapa hari yang lepas, Yamaha secara rasminya melancarkan model naked Yamaha MT-07 2021 untuk pasaran Thailand. Didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Storm Fluo dan Icon Blue, ianya ditawarkan pada harga THB 289,000, bersamaan RM 38,556.59, serta turut ditawarkan promosi baucer hadiah bernilai THB 20,000.

Berbanding generasi sebelumnya, Yamaha MT-07 2021 kini tampil dengan gaya rekaan facelift terbaharu yang lebih sporty dan agresif. Paling ketara ialah rekaan lampu depan model berkenaan kini telah berubah sepenuhnya kepada lampu LED jenis projektor yang terang dan diapit oleh sepasang lampu posisi LED di sebelah kiri dan kanannya.

Perubahan lain untuk Yamaha MT-07 2021 antaranya turut melibatkan rekaan baharu tangki bahan api yang mempunyai isian maksimum 14 liter, dan kehadiran handlebar baharu (new aluminium tapered handlebars) yang 32 mm lebih lebar untuk kedudukan tunggangan yang lebih baik dan pergerakan lebih mudah pada kelajuan perlahan.

Juga baharu ialah panel instrumen LCD digital yang kompak dan ringan dengan ciri ‘spot colour’, dan mempunyai paparan yang lebih besar dan jelas untuk informasi jam, gear, meter perjalanan dan takometer. Suis baharu pada handlebar pula membolehkan penunggang untuk mengendalikan meter dengan lebih mudah dan cekap.

Selain itu bersama-sama lampu depan LED baharu ialah lampu signal LED baharu yang terang di bahagian depan dan belakang, tampil lebih kompak dan ringan. Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan kehadiran sepasang brek cakera depan 298 mm, di samping brek cakera belakang tunggal 245 mm dan sistem brek ABS dua saluran.

Yamaha MT-07 2021 masih mengekalkan enjin CP2 bersesaran 689cc, namun telah dikemaskini semula di bahagian pengambilan udara dan sistem suntikan bahan api, termasuklah dilengkapi sistem ekzos ‘2-into-1’ dan ECU baharu. Perubahan tersebut menawarkan tindak balas enjin lebih mendatar dan tetap mengekalkan prestasinya.

Enjin empat lejang dua silinder bertaraf Euro 5 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 74.8PS @ 8,750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Enjin berkenaan turut menampilkan penutup enjin berwarna Crystal Graphite baharu, di samping paip ekzos dengan warna baharu Silver.

Artikel Popular Minggu Ini :