Yamaha Y15ZR V2 2021 masih dijual, namun adakah ianya pilihan tepat berbanding Yamaha Y16ZR 2021?

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) secara rasminya melancarkan model Yamaha Y16ZR 2021 untuk pasaran Malaysia. Namun perkara paling menarik sekali yang diumumkan sewaktu pelancaran model moped terbaharu itu ialah model Yamaha Y15ZR V2 2021 akan tetap diteruskan jualannya di pasaran Malaysia seperti biasa.

Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan terbesar pada ketika ini ialah masihkah ada peminat atau pengguna motosikal yang berpotensi akan membeli Yamaha Y15ZR V2, sedangkan pada masa yang sama Yamaha Y16ZR menawarkan pelbagai kelebihan yang lebih menarik, lebih moden, lebih canggih, pada harga yang hanya sedikit tinggi.

Yamaha Y16ZR ditawarkan pada harga asas RM 10,888.00, manakala Yamaha Y15ZR V2 dijual pada harga asas RM 8,168.00. Perbezaan harga di antara kedua-dua model berkenaan ialah sebanyak RM 2,720.00 sahaja, boleh dikatakan tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Yamaha Y16ZR 2021 serba baharu.

Dengan kos tambahan hanya RM 2,720.00, anda akan mendapat sebuah model baharu dengan rekaan yang lebih sporty, enjin 155cc VVA yang lebih berprestasi dengan kotak gear enam kelajuan, sistem Assist & Slipper Clutch, tangki petrol yang lebih besar, brek cakera depan dengan kaliper dua piston, sistem kunci pintar dan banyak lagi.

Tidak dilupakan ialah pengiktirafan daripada rakan-rakan jika anda membeli Yamaha Y16ZR pastinya tidak akan sama berbanding jika anda membeli sebuah model Yamaha Y15ZR V2, yang telah beberapa tahun berada di pasaran. Atau mungkin anda sudah bersedia dengan beberapa alasan ini untuk mewajarkan pembelian Yamaha Y15ZR V2.

Antaranya ialah kadar cukai jalan setahun hanya RM 2.00 sahaja, berbanding bayaran sebanyak RM 30.00 untuk Yamaha Y16ZR. Tambahan pula bermula pada 1 April 2021 sehingga 31 Disember 2021, motosikal dengan enjin 150cc ke bawah akan mendapat pengecualian duti eksais 100 peratus, bagi versi pemasangan tempatan atau CKD.

Pengecualian duti eksais 100 peratus itu dijangka akan menyebabkan harga Yamaha Y15ZR V2 akan menjadi lebih rendah daripada harga biasa. Namun apa pun alasan yang diberikan, minat dan kemahuan untuk memiliki sebuah model motosikal baharu itu pastinya terlalu tinggi, walaupun terpaksa membayar pada harga yang lebih mahal.

Di pasaran Vietnam contohnya, harga jualan Yamaha Exciter 155 VVA telah dinaikkan ke paras yang lebih tinggi berbanding harga rasmi yang ditetapkan oleh Yamaha Motor Vietnam, kerana model tersebut telah mendapat sambutan yang begitu hangat. Malah harga Yamaha Exciter 150 terpaksa diturunkan demi meningkatkan kembali jualannya.

Situasi yang sama juga dijangka akan berlaku di pasaran Malaysia. Harga jualan tunai yang akan ditetapkan oleh wakil penjual untuk model Yamaha Y16ZR dijangka akan berlegar-legar sekitar RM 12.5k sehingga RM 14.k OTR. Harga berdasarkan bayaran secara ansuran pula pastinya jauh lebih tinggi, bergantung kepada jumlah deposit.

Pembelian untuk model Yamaha Y15ZR V2 sebenarnya masih lagi signifikan, sekiranya harga yang ditawarkan oleh wakil penjual jauh lebih rendah berbanding harga Yamaha Y16ZR. Misalnya perbezaan harga di antara kedua-duanya melebihi RM 3,500.00. Jika perbezaannya sekitar RM 2,800.00 sahaja, mungkin ianya dirasakan tidak berbaloi.

Oleh itu sebelum membuat pembelian untuk model Yamaha Y15ZR V2, pastikan anda mendapat tawaran harga yang paling rendah sekali. Berdasarkan jangkaan awal, harga Yamaha Y15ZR V2 akan ditawarkan pada harga lebih mampu milik selepas ini, kerana majoriti pembeli akan memilih Yamaha Y16ZR yang lebih canggih dan lebih berprestasi.

Galeri : Yamaha Y15ZR V2 2020

Galeri : Yamaha Y16ZR 2021

Artikel Popular Minggu Ini :