Moto Morini ialah jenama pengeluar motosikal Itali yang ditubuhkan oleh Alfonso Morini pada tahun 1937. Pada tahun 2018, syarikat tersebut telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Zhongneng Vehicle Group yang berasal dari negara China.
Antara model baharu yang bakal dilancarkan oleh Moto Morini dalam tempoh beberapa bulan lagi ialah model kembara X-Cape, yang ketika ini telah dijumpai sedang menjalani ujian jalan raya di China. Model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 649cc (2-cylinder inline, liquid-cooled), seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Antara spesifikasinya ialah lampu depan LED, panel instrumen TFT 7.0 inci dengan sambungan Bluetooth, fork depan terbalik 50 mm, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan berkembar 300 mm dan brek cakera belakang 255 mm, sistem ABS dua saluran, tayar depan 110/80-19, tayar belakang 150/70-17 dan tinggi pelana 830 mm.
Melihat kepada reka bentuknya, Moto Morini X-Cape ini dijangka mampu menawarkan corak tunggangan yang lasak pada semua jenis permukaan, sama seperti kemampuan yang ditunjukkan oleh model Yamaha Ténéré 700 yang dilengkapi enjin 689cc.