Bertempat di Guangzhou, China, pengeluar motosikal Dayang Motorcycle kelmarin dengan rasminya melancarkan dua buah model skuter ADV terbaharu keluaran mereka, iaitu Dayang ADV150 2021 dan Dayang ADV350 2021.
Bagi model Dayang ADV150, ianya didatangkan dalam tiga pilihan varian iaitu standard, deluxe dan flagship, dengan harga masing-masing ialah CNY 15,990 (RM 10,133.99), CNY 18,990 (RM 12,035.30) dan CNY 21,990 (RM 13,936.61).
Dayang ADV350 pula didatangkan dalam varian standard dan deluxe, masing-masing ditawarkan pada harga CNY 27,990 (RM 17,739.23) dan CNY 29,990 (RM 19,006.77). Senarai harga yang ditawarkan itu boleh dikatakan berpatutan.
Dayang ADV150 dikuasakan enjin 150cc dengan sistem penyejukan cecair dan empat injap, dan menghasilkan kuasa maksimum 16.2hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 14.6Nm @ 6,500rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 9.3 liter.
Ciri-ciri menarik yang moden dan canggih yang melengkapi model tersebut termasuklah paparan instrumen digital TFT, sistem lampu LED, kamera depan dan belakang, enjin dengan teknologi hibrid, sistem brek ABS dual-channel dan banyak lagi.
Bagi model Dayang ADV350 yang tampil lebih besar, ianya dilengkapi enjin bersesaran 333.4cc (liquid-cooled, four-valve, single-cylinder) dengan keluaran kuasa maksimum 29.1hp @ 7,000rpm dan tork maksimum 33.5Nm @ 5,500rpm.
Antara kelebihan yang ditawarkan oleh Dayang ADV350 ini ialah tempat duduk dengan ketinggian hanya 755 mm, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 17.4 liter, panel meter digital LCD, sistem brek ABS dan pelbagai ciri-ciri menarik yang lain.
Dayang ADV150 dan Dayang ADV350 buat masa ini dilancarkan khusus untuk pasaran China. Namun bagi model Dayang ADV150, baru-baru ini telah terdengar khabar angin yang mengatakan ianya akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia.