Benelli akan melancarkan model moped terbaharu dengan enjin lebih besar, bakal mencabar Yamaha Y15ZR V3 2021

Model moped terbaharu Yamaha Y15ZR V3 2021 yang sangat dinanti-nantikan selama ini bakal dilancarkan dengan rasminya pada tarikh 18hb. Mac 2021 (Khamis). Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah enjin 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan sistem Smart Key yang canggih.

Namun tahukah anda bahawa Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) bukanlah satu-satunya syarikat yang akan melancarkan sebuah model moped terbaharu dalam masa terdekat ini untuk pasaran tempatan. Ini kerana pihak Benelli Malaysia juga akan melancarkan sebuah model moped terbaharu keluarannya tidak lama lagi.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Benelli Malaysia telah membuat pengumuman rasmi mengenai model tersebut melalui video teaser yang disiarkan di dalam laman Facebook mereka pada awal bulan Januari 2021 yang lalu. Tarikh pelancarannya pula diumumkan akan berlangsung dalam suku pertama tahun ini, di antara Januari sehingga Mac 2021.

Oleh kerana bulan Januari dan Februari telah pun berlalu, jadi kita boleh andaikan yang model moped terbaharu itu akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung bulan Mac 2021 ini. Atau jika ianya ditunda ke tarikh baharu yang lain, besar kemungkinan Benelli Malaysia akan melancarkan model berkenaan dalam bulan April 2021 akan datang.

Apa yang menariknya berkenaan model moped terbaharu keluaran Benelli Malaysia itu ialah ianya sebelum ini disebut-sebut akan dilengkapi enjin yang lebih besar berbanding enjin yang melengkapi model Yamaha Y15ZR V3. Setakat ini spekulasi awal menyebut bahawa model tersebut akan dilengkapi enjin sama ada 175cc, 180cc atau 200cc.

Jika benar ianya didatangkan dengan enjin sebesar 200cc, model tersebut sudah layak untuk diberi gelaran Super Moped yang pastinya sukar dicabar oleh Yamaha Y15ZR V3 dan juga model SYM VF3i 185. Bagaimanapun kemungkinan itu dirasakan tipis, kerana kapasiti enjin yang dirasakan paling logik ialah sama ada 175cc atau pun 180cc.

Tambahan pula pihak Benelli Malaysia sebelum ini telah pun dikhabarkan mendaftarkan nama sebuah model misteri di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), iaitu nama Benelli R18i. Adakah itu nama sebenar model moped baharu keluaran Benelli Malaysia yang akan dilancarkan nanti, dan adakah ianya dilengkapi enjin bersesaran 180cc?

Dengan pelancaran Yamaha Y15ZR V3 dan model moped terbaharu keluaran Benelli dengan enjin yang lebih besar dalam masa terdekat ini, dunia permotoran di negara kita sudah tentu akan menjadi lebih meriah selepas ini. Cuma apa yang mungkin terkurang ialah peminat Honda Winner X yang ketika ini masih dalam penantian dan harapan.

Sumber gambar : Vanhoe Rage FB