Dayang ADV150 2021 akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran China, adakah pasaran Malaysia akan menyusul?!!

Sejak beberapa bulan yang lepas, model skuter terbaharu Dayang ADV150 2021 telah mendapat perhatian daripada ramai peminat dan pihak media di negara asalnya China. Ini kerana model tersebut menawarkan reka bentuk yang menarik, bergaya dan sporty, di samping lengkap dengan pelbagai spefisikasi dan ciri-ciri yang praktikal.

Pada masa yang sama, Dayang ADV150 seringkali dibandingkan dengan model Honda ADV150 yang ketika ini begitu popular di pasaran ASEAN. Ketika ini Dayang ADV150 belum dilancarkan untuk pasaran China, namun menurut laman Newmotor.com, majlis pelancarannya akan berlangsung secara rasmi pada tarikh 18hb. Mac 2021 nanti.

Dalam majlis pelancaran tersebut, Dayang ADV150 akan dilancarkan bersama-sama sebuah lagi model skuter terbaharu Dayang ADV350 yang sebelum ini turut menarik perhatian ramai peminat. Harga rasmi kedua-duanya akan diumumkan di dalam majlis pelancaran tersebut yang akan berlangsung di sebuah hotel di Guangzhou, China.

Untuk pasaran Malaysia, baru-baru ini telah timbul suatu spekulasi yang mengejutkan di dalam laman media sosial. Tidak pasti setakat manakah kesahihannya, namun telah dikhabarkan bahawa Dayang ADV150 akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, oleh sebuah syarikat pengeluar motosikal tempatan yang baru saja bertapak.

Kebetulan di dalam laman sesawang syarikat tersebut, mereka telah pun memberikan maklumat awal bahawa pada masa akan datang (coming soon), sebuah model skuter terbaharu akan dilancarkan. Adakah model skuter terbaharu yang dimaksudkan itu ialah Dayang ADV150, atau ianya merupakan sebuah model skuter yang lain?

Jika benar Dayang ADV150 akan dilancarkan di pasaran Malaysia, sudah tentu ianya merupakan suatu perkembangan yang baik. Ini kerana harga yang bakal ditawarkan untuk model tersebut di pasaran Malaysia nanti pastinya berpatutan dan mampu milik. Apa pendapat anda mengenai spekulasi tersebut, adakah bakal menjadi kenyataan?

Artikel Popular Minggu Ini :