Aprilia SX 125 2021 dan Aprilia RX 125 2021 diperkenalkan

Aprilia pada awal bulan Mac baru-baru ini telah memperkenalkan dua model terbaharu Aprilia SX 125 2021 dan Aprilia RX 125 2021. Kedua-dua model tersebut kini dikatakan telah menerima kemaskini baharu di bahagian rekaan, ciri-ciri yang melengkapinya dan juga di bahagian enjin yang kini lebih berprestasi dan patuh piawaian emisi Euro 5.

Kedua-dua model SX 125 dan RX 125 mempunyai perwatakan yang berbeza, di mana SX 125 merupakan sebuah model motosikal supermotard yang menawarkan kelincahan dan keseronokan di jalan raya dan litar. RX 125 sebaliknya merupakan sebuah jentera off-road yang bersiap sedia untuk menghadapi setiap laluan yang lasak dan mencabar.

Aprilia SX dilengkapi tayar sport dalam ukuran 17 inci, manakala Aprilia RX mempunyai tayar khusus jenis knobby untuk peminat aktiviti off-road yang didatangkan dalam saiz 21 inci di bahagian depan dan 18 inci di bahagian belakang. Kedua-dua model yang ringan dan pantas itu menjanjikan prestasi dan kawalan mantap pada setiap medan.

Untuk tahap keselamatan terbaik, Aprilia SX dan RX dilengkapi sistem suspensi yang canggih dan sistem brek dengan ABS, yang menawarkan daya kawalan sempurna dan daya pemberhentian yang luar biasa dan lebih cekap. Aprilia SX dilengkapi brek cakera 300 mm dan 220 mm, manakala Aprilia RX dengan brek cakera 260 mm dan 220 mm.

Untuk lebih praktikal, Aprilia SX dan RX dilengkapi panel instrumen digital yang moden, kompak, sofistikated dan mudah dibaca, di samping pilihan aksesori port USB. Pilihan warna masing-masing untuk Aprilia SX dan Aprilia RX ialah Red Raceway dan Silver Speedway, seterusnya dilengkapkan dengan pilihan skim warna baharu Rally Tribute.

Galeri : Aprilia SX 125 2021

Galeri : Aprilia RX 125 2021