Yamaha YZR-M1 diperkenalkan dengan skim warna istimewa bagi meraikan sambutan ulangtahun ke-60 Yamaha dalam perlumbaan Grand Prix

Bertempat di Litar Antarabangsa Losail di Doha, Qatar kelmarin, pelumba ujian pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP iaitu Cal Crutchlow, secara rasminya memperkenalkan jentera Yamaha YZR-M1 dengan warna ikonik yang cukup istimewa merah dan putih.

Pengenalan model tersebut ialah bagi meraikan sambutan ulangtahun ke-60 Yamaha di dalam perlumbaan Grand Prix, yang bermula sejak tahun 1961. Pasukan Yamaha yang dibarisi oleh lima orang pelumba pada ketika itu telah terbang ke Eropah bersama-sama jentera baharu 250cc in-line twin RD48 dan 125cc single-cylinder RA41. Perlumbaan pertama mereka ialah di GP Perancis, pusingan ketiga dalam siri perlumbaan itu.

Menurut Yamaha, bagi menghormati pencapaian selama 60 tahun di dalam perlumbaan Grand Prix, syarikat tersebut akan mengaturkan beberapa aktiviti dan inisiatif sepanjang musim perlumbaan 2021 untuk meraikan kejayaan yang penting dan bersejarah itu.