Kawasaki Barako II di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 6,987.82

Salah sebuah model motosikal yang ditawarkan di pasaran Filipina pada ketika ini ialah Kawasaki Barako II, yang diperkenalkan sejak tahun 2017 yang lalu. Motosikal bertaraf heavy duty ini dilengkapi dua penyerap hentak belakang berkembar di bahagian kiri dan kanannya, menjadikannya unik dan amat jarang dilihat pada model-model yang lain.

Kawasaki Barako II dilengkapi enjin 177cc (4-stroke, SOHC, air-cooled) dan dipadankan dengan transmisi empat kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 12.74hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 13.14Nm @ 4,500rpm. Enjin berprestasi yang mematuhi piawaian emisi Euro III itu dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 12 liter.

Spesifikasi lain yang melengkapi Kawasaki Barako II antaranya ialah sistem penghidup tendang dengan teknologi Kawasaki Automatic Compression Release (KACR) yang membantu memudahkan enjin dihidupkan, pilihan sistem penghidup elektrik, brek dram depan dan belakang serta ciri baharu Fuel Gauge yang melengkapi panel meternya.

Untuk pasaran Filipina, harga yang ditawarkan untuk Kawasaki Barako II ialah PHP 83,500 (RM 6,987.82) untuk varian Kick Start dan PHP 87,500 (RM 7,322.56) untuk varian Electric Start. Kebiasaannya Kawasaki Barako II antara model yang seringkali digunakan sebagai kenderaan roda tiga (tricycle) yang banyak terdapat di Filipina.

Artikel Popular Minggu Ini :