SYM Jet X 150 bakal mencabar Yamaha NMAX 155 dan Honda ADV150 di pasaran Malaysia

Di pasaran Malaysia ketika ini, para peminat skuter mempunyai dua pilihan model yang cukup menarik iaitu Yamaha NMAX 155 dan Honda ADV150. Bagi model Yamaha NMAX 155, ianya ditawarkan pada harga asas yang berpatutan sebanyak RM 8,998.00, manakala Honda ADV150 hadir dengan harga asas sedikit tinggi iaitu RM 11,999.00.

Kedua-dua model berkenaan mempunyai kelebihan masing-masing yang tersendiri, dan secara tidak langsung memberikan lebih pilihan kepada bakal pembeli. Bagaimanapun menjadikan situasi lebih menarik tidak lama lagi ialah SYM Malaysia bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu dalam segmen yang sama iaitu SYM Jet X 150 2021.

Setakat ini model tersebut dikhabarkan bakal dilancarkan dalam suku pertama tahun ini, bermakna paling lewat dalam bulan Mac depan. Untuk pasaran Eropah, model tersebut telah pun dilancarkan sebelum ini namun dengan sesaran enjin yang lebih kecil 125cc. Untuk pasaran Thailand pula, ianya dilancarkan oleh GPX di atas nama GPX Drone.

SYM Jet X 150 apabila dilancarkan di pasaran tempatan nanti, ianya dijangka akan memberikan cabaran sengit kepada model Yamaha NMAX 155 dan Honda ADV150. Ini kerana ianya dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri moden dan canggih, di samping reka bentuknya yang menawan, elegan dan sporty. Prestasi enjinnya juga adalah setanding.

Paling penting, harga yang ditawarkan untuk SYM Jet X 150 juga dipercayai berpatutan dan mampu milik, dengan kemungkinan besarnya adalah sekitar RM 9,000.00 sahaja, atau mungkin lebih sedikit. Untuk menjadikannya sebagai sebuah model skuter ADV pula, mungkin cukup dengan hanya menukar tayar asalnya kepada tayar dual-purpose.

Untuk maklumat lebih lengkap berkenaan dengan spesifikasinya dan harga yang bakal ditawarkan, adalah lebih baik kita menunggu pelancaran rasminya tidak lama lagi. Yang pasti jika SYM Jet X 150 untuk pasaran Malaysia ini mengekalkan ciri-ciri menariknya sama seperti model GPX Drone, pasti angka jualannya akan mengatasi pencabarnya.

Galeri : SYM Jet X 150 2021

Galeri : SYM Jet X 125 2021