Model terbaharu Dayang ADV350 2021 merupakan antara model skuter yang dinanti-nantikan di pasaran China pada ketika ini. Mungkin kerana ianya membawakan nama ADV yang semakin popular sejak akhir-akhir ini, sama seperti populariti yang diperolehi oleh dua model keluaran Honda iaitu Honda ADV150 dan Honda X-ADV 750.
Terkini, lebih banyak gambar-gambar penampakan model Dayang ADV350 2021 mulai terdedah di dalam internet, selepas penampakan imej-imej pertamanya sebelum ini. Berdasarkan gambar-gambar tersebut, reka bentuk Dayang ADV350 boleh dikatakan sporty, lebih mirip kepada model skuter maxi berbanding skuter ADV yang sebenar.
Namun melihat kepada jenis tayar yang digunakan, sudah tentu Dayang ADV350 ini mempunyai kemampuan untuk meredah laluan yang agak sukar, terutamanya di kawasan luar bandar yang kebanyakannya mempunyai jalan tidak berturap. Malah ciri paling menariknya ialah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 17.4 liter.
Dengan tangki petrol sebesar itu, perjalanan jauh pastinya bukan lagi suatu masalah. Tambahan pula ianya dilengkapi enjin bersesaran 333.4cc (liquid-cooled, four-valve, single-cylinder) dengan keluaran kuasa maksimum 29hp dan tork maksimum 33.5Nm. Ketinggian tempat duduknya pula sangat rendah dan ideal iaitu hanya 755 mm sahaja.
Sebelum ini majlis pelancaran Dayang ADV350 2021 bersama-sama model Dayang ADV150 2021 di pasaran China dijadualkan akan berlangsung pada tarikh 28hb. Februari 2021. Namun begitu disebabkan oleh penularan pandemik Covid 19, tarikh pelancaran tersebut dikatakan telah ditunda ke tarikh baharu pada 18hb. Mac 2021.
Sumber : Newmotor.com.cn