Pada awal bulan Januari 2021 yang lalu, Benelli Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah model baharu dalam suku pertama tahun ini. Model yang akan dilancarkan itu setakat ini dipercayai merupakan sebuah model moped, yang bakal menggantikan model semasa Benelli RFS150i di pasaran tempatan ketika ini.
Berdasarkan imej teaser yang disiarkan, ianya mempunyai persamaan dengan gambar-gambar sebuah model moped Benelli RFS yang sebelum ini muncul dalam tahun 2019, namun sehingga kini belum dilancarkan. Besar kemungkinan model tersebut yang akan dilancarkan pada bulan Mac depan, iaitu dalam bulan terakhir suku pertama 2021.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalannya pada ketika ini ialah berapakah jumlah kapasiti enjin yang akan melengkapi model moped Benelli RFS terbaharu itu? Adakah masih kekal dengan enjin 150cc? Atau adakah menggunakan enjin baharu yang lebih besar bersesaran 180cc atau 200cc, seperti mana yang disebut-sebut sebelum ini?
Benelli Malaysia melalui paparan teaser yang disiarkan di dalam laman rasmi Facebook mereka sebelum ini mengatakan bahawa “New excitement will hit into the local market in Q1 of 2021!”, yang kemudiannya diikuti oleh hashtag #benellimalaysia, #comingsoon dan #intheblinkofaneye. Paling mengujakan ialah hashtag #intheblinkofaneye.
Hashtag tersebut memberikan gambaran bahawa model moped terbaharu Benelli RFS ini akan mempunyai kelajuan yang sangat pantas, sepantas kerdipan mata sahaja. Jika dibandingkan dengan pilihan enjin yang ada, sudah tentu enjin yang bersesaran 180cc atau 200cc sahaja yang mampu menawarkan kuasa pecutan yang begitu pantas.
Oleh kerana pihak Benelli Malaysia masih belum mengeluarkan paparan teaser kedua dan seterusnya, adalah sukar untuk meneka berapakah jumlah kapasiti sebenar enjin untuk model berkenaan. Namun begitu berdasarkan andaian yang lebih logik dan lebih dipercayai, Benelli RFS 2021 hanya akan dilengkapi enjin bersesaran 180cc sahaja.
Tidak sukar untuk Benelli Malaysia menggunakan enjin bersesaran 180cc pada model moped terbaharu mereka, namun untuk menggunakan enjin dengan kapasiti sehingga 200cc, masanya mungkin belum tiba. Berdasarkan imej teaser tersebut, ianya adalah model Benelli RFS versi facelift terbaharu, yang menggunakan enjin baharu 180cc.
Andaian awal ini tidak semestinya tepat. Benelli Malaysia mungkin akan melancarkan sebuah model super moped baharu dengan enjin 200cc. Cuma sehingga kini harapan tersebut masih belum disokong oleh sebarang petunjuk rasmi daripada pihak Benelli Malaysia. Yang penting, semua jawapan akan terjawab dalam bulan Mac akan datang.