Boon Siew Singapore baru-baru ini telah mengumumkan bahawa model Honda X-ADV 2021 terbaharu bakal dilancarkan di pasaran negara republik itu tidak lama lagi. Model skuter kembara berprestasi tinggi itu sebelum ini diperkenalkan untuk pasaran Eropah, tampil dengan beberapa pembaharuan dan naik taraf terkini yang lebih menarik.
Antaranya ialah kerangka baharu yang lebih ringan, penampilan luaran baharu yang kini lebih sporty, segar dan agresif, lampu utama kini dilengkapi lampu DRL seperti mana yang digunakan oleh model CRF1100 Africa Twin, tempat duduk rekaan baharu, ruang simpanan barangan yang lebih luas, port pengecas USB dan banyak lagi.
Untuk musim 2021, Honda X-ADV kini dilengkapi enjin 745cc (liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve, SOHC, parallel 2-cylinder) yang patuh piawaian emisi Euro 5, dengan gandingan transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) enam kelajuan. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 58.6PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum 69Nm @ 4,750rpm.
Pilihan warna yang bakal ditawarkan pula ialah empat kesemuanya iaitu Pearl Deep Mud Gray, Grand Prix Red, Graphite Black dan Mat Beta Silver Metallic. Untuk pasaran Malaysia, Honda X-ADV 2021 versi facelift terbaharu ini juga dijangka akan dilancarkan, namun setakat ini masih belum ada maklumat berkenaan tarikh pelancarannya.