Honda ADV150 2021 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada keesokan hari, 05hb. Februari 2020 (Jumaat), pada jam 8.00 malam. Majlis pelancaran akan disiarkan secara maya atau virtual, melalui laman Facebook rasmi Honda Motorcycle Malaysia.
Setakat hari ini, paparan brosur rasmi model yang ditunggu-tunggu itu telah pun bocor di dalam internet dan laman sosial, membolehkan kita semua mengetahui dengan tepat pilihan varian yang ditawarkan, termasuk pilihan warna, spesifikasi dan ciri-cirinya.
Bagaimanapun aspek yang paling ditunggu-tunggu ialah berkenaan harga yang bakal ditawarkan oleh pihak Boon Siew Honda. Harga tersebut perlulah berpatutan dan tidak terlalu tinggi. Secara ringkasnya, harga yang tepat pasti akan merancakkan jualannya.
Untuk meramalkan berapakah harga yang akan ditetapkan oleh Boon Siew Honda, kita boleh membuat perbandingannya dengan melihat kepada model yang ditawarkan di pasaran Thailand. Honda ADV150 dijual di pasaran Thailand pada harga THB 98,500.
Sementara itu harga untuk model Honda Click 150i di pasaran Thailand pula dijual pada harga THB 61,200. Perbezaan harga di antara Honda ADV150 dan Honda Click 150i di pasaran Thailand adalah sebanyak THB 37,300, bersamaan nilai RM 5,036.00.
Di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda turut menawarkan model Honda Vario 150, dijual pada harga asas sebanyak RM 7,699.00 (untuk varian teratas Repsol Edition). Jadi berapakah perbezaan harga di antara Honda Vario 150 dan Honda ADV150?
Sekiranya kita meletakkan perbezaan harga Honda Vario 150 dan Honda ADV150 di pasaran Malaysia dalam lingkungan RM 5,000.00, ini bermakna harga Honda ADV150 berkemungkinan besar akan ditetapkan sekitar RM 12,699.00, atau lebih sedikit.
Jadi ramalan awalnya ialah harga Honda ADV150 2021 untuk pasaran Malaysia akan ditetapkan di bawah RM 13k sahaja. Jika ianya lebih rendah, itu adalah lebih baik, sama seperti harga yang ditetapkan untuk Honda CBR250RR 2021 yang sangat berpatutan.