Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini dengan rasminya memaparkan sekeping imej teaser terbaharu, yang memberikan pelbagai petunjuk dan kemungkinan. Berdasarkan pemerhatian dan juga ramalan awal Arena Motosikal, imej teaser tersebut memberikan petunjuk jelas mengenai pelancaran Yamaha Y15ZR V3 2021 terbaharu.
Sebelum ini Yamaha Y15ZR V3 2021, atau di pasaran Vietnam ianya dikenali dengan nama Yamaha Exciter 155 VVA 2021, dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan April 2021. Namun oleh kerana teaser ini disiarkan lebih awal, adakah ini bermakna pelancaran model tersebut nanti bakal berlangsung dalam bulan Mac depan?
Melalui paparan teaser tersebut, HLYM mengatakan tentang “Ketibaan Sesuatu Yang Mengejutkan”, di samping dua perkataan yang pastinya memberikan keterujaan kepada kita semua iaitu “Prestasi Terunggul”. Sudah tentu ianya merujuk kepada prestasi yang dibawakan oleh enjin serba baharu 155cc VVA pada model Yamaha Y15ZR V3 2021.
Sama ada pelancarannya akan berlangsung dalam bulan Mac atau April 2021 ini, yang penting ialah para peminat model berkenaan kini tidak lagi perlu menunggu terlalu lama. Mungkin juga selepas ini wakil-wakil pengedar HLYM akan membuka tempahan secara rasmi. Untuk kepastian, sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya nanti.