Model skuter kian popular di mana-mana pasaran dunia ketika ini. Mungkin disebabkan reka bentuk yang semakin sporty dan agresif, di samping spesifikasi yang semakin mewah dan enjin yang kian berprestasi. Salah sebuah model skuter terbaharu dengan penampilan dan spesifikasi yang cukup menarik ketika ini ialah Teyin A8 2021.
Teyin A8 dilengkapi enjin bersesaran 149.6cc (air-cooled, 4-stroke) yang menghasilkan kuasa maksimum 8.3hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.5Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi automatik dan dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan elektrik. Menariknya ialah enjin model skuter ini dikatakan patuh piawaian Euro 5.
Berdasarkan gambar-gambar model tersebut, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang. Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital, port pengecas USB, tangki bahan api dengan kapasiti penuh 5.8 liter dan tahap penggunaan bahan api yang dikatakan cekap dan ekonomi.
Melihat kepada rekaan dan penampilan keseluruhan Teyin A8 ini, ianya menawarkan ciri tunggangan yang selesa, lincah dan berprestasi. Berdasarkan maklumat di dalam laman web dan laman Facebook pengeluarnya, model ini bukan sahaja untuk pasaran China, malah untuk pasaran luar negara yang berminat untuk memasarkannya.