Buell Motorcycles pada beberapa hari yang lepas secara rasminya mengumumkan bahawa syarikat pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat itu kini telah kembali untuk mengeluarkan model-model motosikal baharu. Ketika ini mereka merancang untuk melancarkan 10 buah model motosikal berprestasi tinggi menjelang tahun 2024.
Model-model terbaharu itu nanti akan merangkumi beberapa segmen seperti dirt, dual-sport, touring dan cruiser, termasuk memperkenalkan barisan baharu yang antaranya termasuklah model-model dengan sesaran enjin sederhana dan kecil. Buell Motorcycles juga mengatakan mereka bakal meneroka model motosikal elektrik berkuasa tinggi dan bersedia untuk menjalinkan kolaborasi dengan syarikat-syarikat lain.
Menurut Buell Motorcycles lagi, model yang telah masuk ke barisan pengeluaran ketika ini dibina secara buatan tangan (hand-built) di fasiliti pengeluaran yang terletak di Grand Rapids, Michigan dan berasaskan platform model berprestasi tinggi 1190 yang terkenal dengan inovasi seperti Fuel in Frame, Perimeter Brake Rotor dan kuasa kuda tinggi.
Antara model terbaharu keluaran tahun 2021 yang bakal dilancarkan nanti ialah Buell Hammerhead 1190RX, dikuasakan enjin bersesaran 1,190cc (ET-V2: 72° V-Twin, Liquid Cooled, Four-stroke) dengan kuasa maksimum 185hp @ 10,600rpm dan tork puncak 137.8Nm @ 8,200rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Selain daripada model supersport Buell Hammerhead 1190RX 2021 tersebut, model-model lain yang bakal dikeluarkan nanti ialah model naked Buell 1190 SX 2021, Buell 1190 HCR 2021 dan Buell 1190 Super Touring 2023. Sama-sama kita nantikan adakah kembalinya Buell Motorcycles ini bakal memberikan impak yang diharap-harapkan.